Kerjasama MPI, Google perkasa etika wartawan dalam dunia AI

Kerjasama MPI, Google perkasa etika wartawan dalam dunia AI

FAHMI Fadzil berucap ketika majlis penutupan Projek Sigma di Park Royal Collection, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mengalu-alukan kerjasama antara Google dan Malaysian Press Institute (MPI) menerusi projek ‘AI Literacy for Journalists’ yang disifatkan sebagai usaha memperkasa etika kewartawanan dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, susulan perkembangan bidang AI, penggunaannya perlu dilihat sebagai alat bantuan yang penting, bukannya menggantikan tugas hakiki seorang wartawan.

“AI boleh jadi pena dan buku baharu untuk wartawan, tetapi kita perlu faham batas dan etika penggunaannya.

“Oleh itu, usaha MPI dan Google ini penting supaya wartawan dapat memahami bukan sahaja kelebihan, malah kelemahan teknologi ini,” katanya selepas majlis penutupan Projek Sigma di Park Royal Collection, di sini hari ini.

Katanya, Projek Sigma merupakan kerjasama 10 minggu antara Kementerian Komunikasi dan Google membabitkan enam organisasi media pelbagai bahasa bagi meneliti corak penggunaan media dalam kalangan Generasi Z.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementeriannya turut merancang kerjasama antara Google dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bagi memperluaskan pendekatan yang diguna pakai dalam Projek Sigma ke jabatan dan agensi kerajaan lain.

“Saya merancang agar IPPTAR bekerjasama dengan Google untuk lihat bagaimana modul bagi Projek Sigma ini boleh digunakan oleh organisasi lain, bukan terhad kepada media sahaja.

“Ramai agensi ada permintaan sendiri. Jadi, kita harus faham cara penyampaian maklumat juga perlu berubah ikut kehendak generasi baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN