KUALA LUMPUR: Kapasiti capaian jalur lebar laman sesawang MyKasih bakal ditingkatkan bagi memastikan pengguna tidak mengalami sebarang gangguan teknikal susulan pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bermula esok.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan penyaluran bantuan itu berjalan lancar tanpa gangguan teknikal dan mengelakkan berulang masalah sistem seperti pernah berlaku sebelum ini.
“Saya turut menghubungi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican pagi tadi dan beliau memberi jaminan bahawa pelaksanaan penyaluran bantuan ini akan berjalan lancar pada peringkat awal.
“Peruntukan RM100 ini boleh digunakan sehingga akhir tahun dan akan dinyahaktifkan pada 12 tengah malam, 31 Disember nanti,” katanya dalam sidang media selepas sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
Program Sara Untuk Semua menyediakan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan mula disalurkan bermula Isnin ini.
Sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi memanfaatkan semua warganegara tanpa perlu membuat sebarang permohonan dan bantuan itu akan dikreditkan secara automatik ke MyKad penerima, semakan kelayakan boleh dibuat menerusi portal rasmi sara.gov.my. – UTUSAN










