KUALA LUMPUR: Kerjasama Filipina-Malaysia akan terus diperkukuh menerusi potensi baharu dalam bidang pelancongan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Ketua Pejabat Penyelaras Filipina Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Leo Tereso Magno berkata, jumlah dagangan antara kedua-dua negara juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa susulan pertemuan pemimpin dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Katanya, Filipina melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang penting dalam rantau Asia Tenggara dan rakan kongsi strategik dalam ketiga-tiga aspek berkenaan.
“Filipina akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan, kita telah mempertingkatkan perdagangan sejak tahun 1994 apabila kita menubuhkan BIMP EAGA.
“Jadi apa kami harapkan hubungan Malaysia dan Filipina akan ditambah baik dan tidak hanya kepada perdagangan semata-mata, sebaliknya dalam aspek pelaburan dan pelancongan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. berkata, kerjasama kukuh antara negara anggota BIMP-EAGA meletakkan asas lebih mantap untuk pertumbuhan inklusif, mampan dan berteraskan inovasi.
Dalam pada itu Leo berkata, beliau melihat penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 sebagai platform perbincangan negara rantau Asia Tenggara bagi membincangkan isu penting terutama berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS). – UTUSAN