KUALA LUMPUR: Kerjasama ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kini lebih penting daripada sebelumnya dalam menghadapi landskap politik global yang semakin kompleks dengan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rangka kerja ASEAN-GCC bermula dari 2024 hingga 2028 telah pun diterima pakai semasa sidang kemuncak sulungnya yang menjadi hala untuk memperdalamkan kerjasama melalui tiga tonggak iaitu kestabilan melalui perpaduan, kemakmuran melalui kerjasama, dan daya tahan melalui tanggungjawab bersama.
Katanya, setakat hari ini, momentumnya amat memberangsangkan apabila pada tahun lalu, GCC menjadi rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion.
“Hubungan yang lebih kukuh antara ASEAN dan GCC adalah penting bagi meningkatkan kerjasama antara rantau, membina daya tahan dan menjamin kemakmuran mampan.
“Perbincangan hari ini amat penting bagi memastikan kerjasama kekal dinamik, responsif dan memberi impak,” katanya dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN – GCC Ke-2, hari ini.
Perdana Menteri berkata, ASEAN dan GCC mempunyai keupayaan serta tanggungjawab untuk menjadi pelopor kestabilan dan pemacu pertumbuhan masa hadapan.
“Seperti yang saya nyatakan malam tadi, ASEAN telah menjadi salah satu rantau paling aman di dunia, terkenal dengan ekonomi yang dinamik dan berkembang pesat.
“Begitu juga dengan GCC yang telah mengalami perubahan paradigma besar dari budaya gurun yang suram kepada ekonomi lebih cerah, menjanjikan dan dinamik.
“Kini, mereka menjadi peneraju dalam penggunaan teknologi terkini, termasuk inovasi digital dan kepakaran dalam kecerdasan buatan (AI),” katanya. – UTUSAN