PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) tujuh tajuk penerbitan melalui Warta Kerajaan, berkuat kuasa pada 15, 16 dan 17 April lalu.
KDN dalam kenyataan memaklumkan, Tindakan Perintah Larangan bawah akta berkenaan merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Dalam masa yang sama, masyarakat turut memperoleh pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
“Ia sebagaimana peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan yang disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia,” katanya.
Antara penerbitan yang terlibat adalah ‘Love, Theoretically’ oleh Ali Hazelwood melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 6) 2025 [P.U.(A) 120] berkuat kuasa pada 15 April lalu kerana mungkin memudaratkan kemoralan.
Selain itu, Tuan Ziyad: Forbidden Love’ oleh Bellesa melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 7) 2025 [P.U.(A) 122] berkuat kuasa pada 16 April lalu kerana mungkin memudaratkan kemoralan.
Di samping itu, Darlingku Mr. Cold Mafia oleh Nur Firsha Nadia Mohd Noor Kusairi (ShaDhia) melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 8) 2025 [P.U.(A) 123] berkuat kuasa pada 16 April lalu kerana mungkin memudaratkan kemoralan.
Turut dikenakan tindakan ‘Mischievous Killer’ oleh Aira Syuhairah Noradzan (Ariaseva) melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 9) 2025 [P.U.(A) 124] berkuat kuasa pada 16 April 2025 kerana mungkin memudaratkan kemoralan.
Sementara itu, ‘Suhuf Abraham’ melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 10) 2025 [P.U.(A) 125] berkuat kuasa pada 17 April 2025 kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
Dalam pada itu, ‘Kougar 2’ oleh Shaz Johar melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 11) 2025 [P.U.(A) 127] berkuat kuasa pada 17 April 2025 kerana mungkin memudaratkan kemoralan.
Akhir sekali, ‘The American Roommate Experiment’ oleh Elena Armas melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 12) 2025 [P.U.(A) 128] berkuat kuasa pada 17 April 2025 kerana mungkin memudaratkan kemoralan. – UTUSAN