Hanya warga asing berkelayakan diberi permit masuk

Hanya warga asing berkelayakan diberi permit masuk

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan hanya warga asing yang benar-benar berkelayakan dan memiliki kepakaran khusus akan diberikan permit masuk bagi mengelakkan persaingan tidak sihat serta menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan permit masuk dibuat secara ketat berpandukan Jadual Perintah Imigresen 1963 dan hanya melibatkan individu profesional yang mampu menyumbang kepada sektor berimpak tinggi.

Menurutnya, kemasukan golongan itu bukan sahaja tidak menjejaskan bakat tempatan, malah membuka ruang pemindahan ilmu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja Malaysia.

“Dengan adanya mereka melalui kaedah permit masuk, kepakaran profesional itu memberi nilai tambah dan bakat tempatan boleh belajar daripada kemahiran mereka. Kemasukannya tidak sampai menjejaskan bakat tempatan, sebaliknya menyumbang kepada kepentingan ekonomi negara.

“Permit masuk mesti mematuhi kriteria ketat dan menyumbang secara positif kepada sektor strategik negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai langkah kerajaan menyelaraskan dasar permit masuk dengan keperluan tenaga kerja strategik negara, khususnya dalam sektor berimpak tinggi dan kritikal.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, reformasi pengurusan permit masuk menunjukkan perkembangan positif apabila 15,081 permohonan diluluskan daripada 19,205 kes tertunggak bagi tempoh 2013 hingga 2023, manakala baki permohonan ditolak namun masih boleh mengemukakan rayuan.

Katanya, sebanyak 98 peratus daripada 5,628 kes rayuan bagi tempoh 2020 hingga 2024 juga telah diselesaikan susulan arahan supaya semua tunggakan diputuskan tahun ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan syarat tempoh perkahwinan bagi isteri kepada warganegara Malaysia untuk memohon permit masuk turut dipendekkan daripada lima tahun kepada tiga tahun sebagai sebahagian daripada reformasi.

Menyentuh aspek pendigitalan, beliau berkata sistem sedia ada, myIMMs yang digunakan sejak 2013, akan digantikan dengan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional yang dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan urusan manual serta meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan.

Tegasnya, dasar permit masuk kekal berpaksikan kepentingan nasional dengan penekanan bahawa hanya warga asing yang memenuhi piawaian kelayakan dan keperluan strategik negara akan dipertimbangkan, sekali gus mengelakkan lambakan tenaga kerja luar yang boleh menekan pasaran buruh tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN