PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara sudah bersedia sepenuhnya untuk menyerap tekanan menjelang aksi Piala Asia 2025 yang bakal membuka tirai Sabtu ini di Stadium Titiwangsa.
Tekong negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi mengakui skuad negara berdepan sedikit tekanan beraksi di laman sendiri, namun tetap berharap suasana ketika Piala Dunia 2024 berulang kembali.
“Tekanan memang sentiasa ada, jadi kami kena cepat menyerap tekanan itu. Dari segi latihan dan pengalaman, kita cuba bawa aura tahun lepas, semangat kejuaraan itu kita nak ulang balik untuk tahun ini,” katanya.
Mengulas mengenai Thailand yang menghantar pemain baharu, Syahir berkata, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang rendah kemampuan lawan yang disifatkannya sentiasa konsisten dan serius dalam setiap penampilan.
“Thailand mungkin bawa pemain baharu, tapi kita tahu betapa ketatnya pemilihan untuk wakili negara mereka. Bila dah mewakili Thailand, itu tandanya mereka pemain yang hebat. Jadi kami tak boleh ambil mudah,” jelasnya.
Syahir juga tidak menafikan wujudnya tekanan tambahan selepas aksi hambar di Piala Dunia 2025 di Bihar, India, namun menyifatkan ia sebagai motivasi untuk membuktikan kemampuan sebenar skuad negara.
“Memang ada yang pertikaikan prestasi kita di Bihar, tapi inilah masanya untuk buktikan mereka salah. Lepas kalah hari tu, jurulatih memang kaji habis-habisan dari segi taktikal, hadangan dan pertahanan. Jadi kami datang kali ni dengan persediaan yang sangat rapi,” katanya
Mengenai peluang di Piala Asia, Syahir optimis skuad negara mampu melangkah ke pentas final dalam keempat-empat acara dipertandingkan iaitu regu, berpasukan, double dan quadran sekaligus mahu memastikan pingat emas diraih dalam semua kategori.
“Kalau boleh kita nak ke final untuk semua acara. Tapi secara peribadi, saya nak sangat menang dalam acara berpasukan sebab saya tak pernah menang lagi. Selalu tewas 2-1 atau 3-0 dengan Thailand. Kali ini saya nak ubah sejarah tu,” jelasnya.-UTUSAN’
KAPSYEN: SYAHIR (tengah) mahu memastikan skuad negara mengulangi kejayaan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada kejohanan Piala Asia 2025.