PETALING JAYA: Setiap pembeli rumah baharu berhak menuntut penyediaan alat pemadam api daripada pemaju projek perumahan mereka selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Sekiranya pemaju enggan atau gagal memenuhi kewajipan itu, pemilik rumah disaran membuat laporan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, keperluan itu termaktub di bawah Undang-Undang Kecil (UUK 227) Bangunan Seragam 1984 Pindaan 2021 yang mewajibkan setiap kediaman persendirian dilengkapi alat pemadam api.
Menurutnya, kegagalan pemaju mematuhi peraturan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh dikenakan notis dan kompaun.
“Pembeli rumah baharu perlu tahu hak mereka, jika dalam rumah yang dibeli itu tidak ada alat pemadam api mereka boleh menuntutnya daripada pemaju.
“Mereka perlu periksa setiap unit sama ada rumah tersebut ada disediakan alat pemadam api ini atau pun tidak dan mereka ada hak untuk membuat tuntutan kepada pemaju.
“Jika pemaju enggan ataupun gagal untuk menyediakan perkara ini, maka laporan perlu dibuat kepada pihak bomba dan kami akan kenakan notis kemudian kompaun kepada pihak pemaju rumah tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ibu pejabat JBPM di Putrajaya.
Menurut UUK 227 Pindaan 2021 itu, setiap rumah kediaman persendirian adalah diwajibkan memiliki alat pemadam api bagi rumah kediaman persendirian.
Nor Hisham menegaskan, pematuhan terhadap peraturan ini adalah tanggungjawab serius pemaju dan bukannya sekadar prosedur formal.
“Alat pemadam api adalah garis pertahanan awal bagi mengelak kebakaran daripada merebak. Ia bukan sahaja melindungi harta benda tetapi nyawa penghuni.
“Pemasangan alat pemadam api bukan satu pilihan namun ia adalah satu kewajipan untuk mengelak kebakaran merebak yang mengakibatkan kerugian,” katanya.
Tambahnya, menurut rekod yang dicatatkan JBPM, statistik kebakaran melibatkan kediaman persendirian semakin meningkat menjadikan 3,017 pada tahun lepas berbanding 2,744 bagi dua tahun sebelum ini.
Peningkatan majoriti kebakaran membabitkan rumah kediaman persendirian mencapai 1,690 unit pada tahun lepas menyumbangkan 172 unit pertambahan daripada 2024.
Sementara itu, Nor Hisham mengakui, terdapat cabaran dalam pelaksanaan untuk mewajibkan setiap rumah dipasang dengan alat pemadam api.
Katanya, keadaan itu disebabkan pembangunan rumah tanpa melalui kelulusan kebenaran perancangan.
“Cabaran yang utama untuk mengawal selia undang-undang ini adalah rumah yang dibina sendiri tanpa melalui kelulusan kebenaran merancang.
Contohnya,rumah-rumah kampung, rumah kongsi yang dibina di kebun, ladang dan sebagainya. Keadaan ini menyukarkan kami untuk membuat kawalan dan penguatkuasaan ke atas rumah-rumah kategori ini,” katanya.-UTUSAN.










