KUALA LUMPUR: Kira-kira 4.33 juta kenderaan telah pulang ke kampung halaman dalam tempoh dua hari bermula Selasa hingga kelmarin.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd. Yusuf Abdul Aziz berkata, setakat ini, sebanyak 2.14 juta kenderaan telah melalui lebuh- lebuh raya utama di Plus pada Selasa manakala 2.19 juta lagi, kelmarin (Rabu).
Katanya, pihaknya turut menjangkakan jumlah trafik mencecah sehingga 2.3 juta kenderaan pada hari puncak sehari sepanjang cuti Aidilfitri.
“Dalam tempoh dua hari, sebanyak 4.33 juta kenderaan telah pulang ke kampung menggunakan PLUS di seluruh negara.
“Selain itu, sebanyak 34 lokasi Smart Lane diaktifkan bagi pengguna jalan raya untuk memastikan kelancaran trafik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, PLUS turut menyediakan sebanyak 26 tandas tambahan di hentian rehat dan rawat (R&R) bagi memastikan keselesaan pengguna.
“PLUS sentiasa memastikan semua fasiliti dalam keadaan baik malah menempatkan sebanyak 26 tandas kabin di lokasi tertentu sepanjang lebuh raya.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik pada hari puncak di lebuh raya utama serta lebuh raya sambungan dianggarkan mencecah 3.49 juta.
“Peningkatan trafik di lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan ke lebuh raya utama bermula seawal khususnya bagi pengguna yang bergerak ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.
“LLM menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan sebaiknya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik selain mematuhi arahan ketika pengaktifan smartlane.
“Penunggang motosikal lebih berhati-hati dan dinasihatkan berteduh di 571 lokasi tempat berteduh motosikal ketika cuaca buruk,” katanya. – UTUSAN










