PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui dia hilang arah sejak awal permainan ketika berdepan pemain No.1 dunia, Shi Yu Qi dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2025 di Xiamen, semalam.
Pemain berusia 25 tahun itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas tunduk 6-21, 14-21, kekalahan yang menyaksikan peluang Malaysia untuk bangkit kembali terus tertutup.
Selepas pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal memberi suntikan semangat awal, harapan disandarkan kepada kapten skuad kebangsaan itu, namun aksinya sekadar bayangan kepada perancangan asal.
“Saya cuba bermain lebih agresif, tapi semuanya tidak menjadi. Dari awal saya tak dapat sesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan ia benar-benar menjejaskan rentak permainan.
“Memang apa yang saya cuba bawa ke dalam perlawanan ini tidak berjaya diterjemahkan. Set pertama paling sukar, saya rasa tekanan terlalu kuat,” kata Jun Hao.
Walaupun kecewa gagal menyumbang mata penting buat negara, pemain No. 26 dunia itu tetap berbangga dengan semangat sepasukan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Sebagai kapten, saya tetap berpuas hati kerana kami semua beri yang terbaik. Saya bangga dengan pasukan ini walaupun keputusan tak memihak kepada kami,” katanya.
Kekalahan Jun Hao membuka jalan mudah buat China yang akhirnya menamatkan cabaran Malaysia 3-0, selepas perseorangan wanita negara, K. Letshanaa tumpas di tangan Chen Yu Fei 8-21, 7-21. -UTUSAN