PETALING JAYA: Larangan pengiklanan, promosi atau tajaan produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape bersifat mutlak di bawah Seksyen 9(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, status sebagai selebriti, pempengaruh atau tahap populariti seseorang bukan alasan untuk melangkaui undang-undang, khususnya apabila melibatkan risiko terhadap kesihatan awam dan generasi muda.
Katanya, beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Majistret Putrajaya yang mensabitkan seorang selebriti tempatan atas kesalahan mempromosikan produk merokok di media sosial.
“Keputusan ini menetapkan satu preseden perundangan yang amat penting dalam penguatkuasaan Akta 852.
“Ia menghantar mesej yang jelas dan tuntas bahawa larangan pengiklanan, promosi atau tajaan produk merokok termasuk vape adalah mutlak dan tidak boleh dikompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr. Dzulkefly berkata, undang-undang berkenaan terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian, tidak kira latar belakang atau pengaruh individu terbabit.
Katanya, tindakan undang-undang merupakan langkah terakhir, namun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan teragak-agak untuk menggunakannya sekiranya amaran dan peringatan tidak diendahkan.
“Oleh itu, saya menyeru semua pempengaruh dan pembuat kandungan supaya bertanggungjawab serta menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam usaha membendung normalisasi budaya merokok dalam masyarakat.
“Bersama-sama kita membina Malaysia yang lebih sihat,” katanya.
Sebelum ini, pelakon dan pelawak, Shuib didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya kerana mempromosikan produk tembakau di podcast, dua tahun lalu.
Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 42, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Ezrene Zakariah.
Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara selama satu tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia yang juga penerbit podcast terbabit didakwa mempromosikan produk merokok Soundvape yang melanggar Seksyen 9(1) iaitu mengambil bahagian dalam sebarang perkiraan yang mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau. – UTUSAN










