SHAH ALAM: Seorang warga emas tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung dekat sebuah kolam tadahan hujan di Seksyen U11, di sini, kelmarin.
Mayat wanita berusia 70-an itu dipercayai sudah pun meninggal dunia dalam tempoh 48 jam ketika ditemukan oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, polis menerima makluman daripada orang awam kira-kira pukul 11.30 pagi pada yang hari sama mendakwa terlihat mayat tersebut kira-ketika sedang memancing.
“Polis ke lokasi kejadian dengan dibantu pasukan Forensik dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membawa keluar mayat tersebut.
“Kemudian polis dihubungi oleh pihak keluarga yang menyatakan mangsa merupakan kakak mereka yang tinggal berseorangan di taman berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, mayat wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan proses tersebut dijalankan pada pukul 9 pagi semalam.
“Turut dihadiri oleh keluarga untuk tujuan pengecaman. Keluarga mengesahkan identiti dan menuntut jenazah mangsa tersebut .
“Punca kematian masih menunggu laporan lengkap makmal. (Pending laboratory investigation). Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya.
Ramsay menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan dengan kejadian itu bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Izzman Mohd. Idrus di talian 013-4003355. – UTUSAN










