Irfan raih gangsa Kejohanan Olahraga Asia

Irfan raih gangsa Kejohanan Olahraga Asia

MUHAMMAD Irfan Shamsuddin (kanan) ketika majlis penyampaian pingat selepas meraih gangsa menerusi acara lempar cakera lelaki pada Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan hari ini. - IHSAN OLAHRAGA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin terus mengharumkan nama Malaysia selepas menghadiahkan pingat gangsa di Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan hari ini.

Irfan mencatatkan balingan sejauh 58.82 meter (m) untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dan muncul antara tiga terbaik benua Asia dalam acara penuh saingan itu.

Emas menjadi milik atlet China, Abuduaini Tuergong dengan lemparan 63.47m manakala perak diraih wakil Jepun, Masateru Yugami menerusi catatan 60.38m.

“Alhamdulillah, pingat gangsa berjaya diraih oleh Muhammad Irfan dalam acara lempar cakera… Irfan tiga terbaik di Asia!” kata kenyataan rasmi Olahraga Malaysia di Facebook.

Ini merupakan pingat gangsa kedua Irfan di pentas Asia selepas kejayaan sama di Doha pada edisi 2019, membuktikan dia masih relevan di peringkat tertinggi.

Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara, Nani Sahirah Maryata menamatkan saingan akhir lontar peluru wanita di kedudukan kesembilan daripada sepuluh peserta.

Nani mencatat lontaran terbaik sejauh 15.06m dalam saingan yang menyaksikan China menguasai podium menerusi Ma Yue (18.26m) dan Song Jiayuan (17.78m), manakala gangsa milik Taiwan.

Kejohanan yang menghimpunkan jaguh-jaguh olahraga dari seluruh benua itu akan melabuhkan tirainya secara rasmi esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN