GCC serius teruskan usaha damai Gaza

GCC serius teruskan usaha damai Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serius untuk meneruskan proses damai antara Palestin – Israel berdasarkan resolusi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab bagi menghentikan krisis kemanusiaan di Gaza.

Menjadikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 sebagai pentas menyuarakan pendirian GCC, Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata, pihaknya menggesa masyarakat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab perundangan dan moral bagi memberi tekanan sewajarnya dalam konflik kemanusiaan di Gaza.

Baginda berkata, GCC sentiasa mengikuti rapat perkembangan tragedi kemanusiaan yang berterusan di Gaza dan Palestin.

Bahkan, katanya, GCC juga sudah menyatakan pendirian teguh terhadap isu Palestin dan menyokong rakyatnya untuk menubuhkan sebuah negara merdeka berdasarkan persempadanan 1967 dengan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Kami menyeru masyarakat antarabangsa agar melaksanakan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka serta memberi tekanan yang sewajarnya untuk menghentikan pencerobohan dan memastikan perlindungan antarabangsa bagi orang awam.

“Kami juga memperbaharui seruan untuk menyambung semula proses damai yang serius dan boleh dipercayai berdasarkan resolusi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab.

“Kami memuji pendirian ASEAN dalam menyokong hak sah rakyat Palestin dan membela perjuangan mereka,” katanya dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN – GCC Ke-2, hari ini.

Sementara itu, baginda berkata, mengenai situasi di Syria, GCC mengalu-alukan perkembangan positif di lapangan dan menyatakan sokongan kepada segala usaha untu mencapai keamanan dan kestabilan.

“GCC juga menyatakan pendirian untuk memelihara kedaulatan dan integrity Syria serta membolehkan rakyatnya memperoleh keselamatan dan kemakmuran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN