KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memberi perhatian kepada literasi digital dan keperluan membabitkan belia bagi menyelesaikan isu perubahan iklim.
Gesaan itu dibuat Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dengan menjelaskan tindakan tersebut adalah bagi mempercepatkan tindakan iklim, menangani kehilangan biodiversiti serta pembangunan belia yang lain.
“Kita sudah melakukan sesi interaksi antara pemimpin belia dan pemimpin ASEAN yang membabitkan 22 wakil belia dari 10 negara ASEAN dan Timor-Leste.
“Hari ini kami membentangkan kenyataan media belia ASEAN hasil dialog yang berlangsung dari Jumaat hingga Rabu ini dengan membincangkan perkara berkaitan literasi digital, perubahan iklim dan pembangunan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir sesi perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Belia ASEAN yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Dalam pada itu, Mohd Izzat Afifi berkata, fokus utama pemimpin belia ASEAN ialah Visi ASEAN 2045 dan juga ‘Pact of the Future’ yang baru sahaja dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu.
“Pemimpin-pemimpin ASEAN memberikan komen yang positif dan menerima segala cadangan daripada pemimpin belia ASEAN iaitu rekomendasi yang telah dikeluarkan daripada ‘ASEAN New Dialogue’ kali keempat,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Pertubuhan Belia Kebangsaan Filipina, Michelle Ann M Villanueva berkata, pihaknya amat berterima kasih diberi peluang mengetengahkan isu golongan muda di platform ASEAN.
“Ini satu pengalaman luar biasa kerana berpeluang bertukar pandangan dengan pemimpin ASEAN yang membuat dasar,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di sini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Tahun ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN, dua pertemuan penting peringkat tinggi turut diadakan, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, yang menjadi platform strategik untuk memperkasa kerjasama serantau dan antara serantau. – UTUSAN