Raja Muda Perlis berkenan rasmi Y-HUB - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis berkenan rasmi Y-HUB

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis diiringi oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi meninjau kemudahan yang disediakan di Pusat Aktiviti Belia Setempat (Y-HUB) MBM yang merupakan alternatif pusat rekreasi dan ruang interaksi anak muda di Cheras, ibunegara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Pusat Aktiviti Belia Setempat (Y-HUB) Majlis Belia Malaysia (MBM) yang merupakan alternatif pusat rekreasi dan ruang interaksi anak muda di Cheras, ibunegara semalam.

Program turut diisi dengan sesi interaksi bersama golongan belia yang hadir. Sesi tersebut memberi ruang kepada para peserta untuk bertukar pandangan secara terbuka serta mendapatkan inspirasi dan panduan secara langsung.

Ini merupakan keberangkatan buat pertama kalinya seorang Pewaris Takhta negeri ke Ibupejabat MBM di Wisma Zelan, Bandar Tun Abdul Razak.

Sempena program Kayuhan dan Sesi Tuanku Raja Muda Perlis Bersama Belia anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM), selain singgah di Taman Tasik Permaisuri, Baginda turut berangkat ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi pengisian acara bersama pasukan digelar “The City Boys”. Baginda meluangkan masa beramah mesra dengan jurulatih serta para pemain pasukan Liga Super KL City F.C. tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyaksikan sesi penyampaian sumbangan silatulrahim sempena Sambutan Tahun Baru Cina dan Menyambut Ramadan Kareem daripada pihak MBM kepada bekas-bekas pemain pasukan Kuala Lumpur era 80 dan 90an sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam arena bola sepak negara.

Antara yang hadir adalah Azman Adnan, Tang Siew Seng, Subadron Aziz, Saidin Osman, Nazim Din, Kamarul Zaman Yusof, dan Datuk Ramlan Askolani.

MBM berperanan memupuk kemajuan belia secara seimbang dalam aspek sosial, ekonomi, fizikal, mental, moral dan politik, selain menggalakkan semangat patriotisme, proaktif, kreativiti serta tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.

Melalui pelbagai program dan inisiatif pembangunan, termasuk perhimpunan tahunan, dialog dasar belia serta kerjasama strategik bersama kerajaan dan pelbagai sektor, MBM terus memperkukuh suara dan peranan belia dalam arus pembangunan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN