KUALA LUMPUR: ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mahu penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza berakhir dengan segera.
Bercakap ketika sesi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan supaya gencatan senjata serta-merta dilaksanakan di Gaza.
Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa mengiktiraf usaha ke arah penyelesaian dua negara bagi mengakhiri konflik menghantui Palestin sejak berpuluh tahun itu.
“Kami berharap resolusi terhadap kekejaman berpuluh tahun yang dilakukan oleh Israel ini ditamatkan dengan gencatan senjata serta-merta dan pengiktirafan penyelesaian dua negara seperti mana resolusi yang turut dikongsi oleh banyak negara di Asia.
“Malaysia berdiri teguh Bersama (Palestin), berharap agar penyelesaian yang adil dan muktamad dapat dicapai,” katanya.
Perdana Menteri berkata, konflik di Gaza serta Palestin begitu memberi kesan dan memedihkan hati seluruh masyarakat di rantau ini.
“Saya membesar dengan pendirian yang kuat menentang sebarang bentuk penjajahan. Justeru, kami dengan tegas menolak pendudukan tanah Palestin yang berterusan. Kami menjunjung tinggi maruah insan dan aspirasi semua bangsa.
“Kami berharap agar gencatan senjata segera dapat dilaksanakan serta menggesa pengiktirafan penuh terhadap penyelesaian dua negara. Pendekatan ini, yang menekankan keamanan dan keadilan, turut dikongsi oleh banyak negara di Asia,” katanya. – UTUSAN