Lembaga Keamanan Semenanjung Gaza ciptaanAS penjajahan baharu penduduk Palestin

Lembaga Keamanan Semenanjung Gaza ciptaan AS penjajahan baharu penduduk Palestin

MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Keamanan Semenanjung Gaza cip­taan Amerika Syarikat (AS) me­rupakan satu bentuk penjajahan baharu penduduk Palestin apabila inisiatif berkenaan tidak mendapat persetujuan pihak berkuasa dan pemilik sah tanah di kawasan terbabit.

Pengasas Global Sumud Flotilla (GSF), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman berkata, tindakan AS menubuhkan Lembaga Keamanan itu tanpa persetujuan rakyat Palestin sendiri menimbulkan banyak persoalan kerana suara penduduk asal Gaza tidak diambil kira.

Katanya, berdasarkan cada­ngan awal penubuhan badan itu, antara ahli jawatankuasanya turut melibatkan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan disertai pemaju hartanah, bekas Pegawai Eksekutif bank dan sebagainya.

“Malah, berdasarkan cadangannya, (Perdana Menteri Israel) Benjamin Natanyahu turut mahu dilibatkan sedangkan dia merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap genosid di Gaza.

“Jadi kalau kita teliti betul-betul, Lembaga Keamanan yang ditubuhkan ini tidak langsung dirundingkan dengan wakil rakyat Palestin iaitu Hamas dan ia bukan bertujuan mengamankan semula Gaza tetapi untuk melakukan suatu bentuk penjajahan baharu.

“Mereka mahu menguasai ekonomi dan pembangunan Gaza sepenuhnya dengan me­nguasai pentadbiran serta kuasa politik di sana. Jadi macam mana kita hendak bersetuju dengan cadangannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) berkata, pihaknya bukanlah menyatakan sokongan kepada Hamas sebaliknya organisasi itu sendiri diberi tanggungjawab sebagai wakil perunding mewakili rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, apabila organisasi itu dilantik mewakili rakyat Palestin di Gaza maka suara yang dibawakan adalah suara rakyat iaitu selaku tuan tanah.

“Jadi macam mana kita hendak bersetuju kerana tindakan itu akan mengikat Gaza secara berterusan untuk berada di bawah lembayung dan naungan Zionis Israel.

“Jika benar mereka ikhlas mahu membawa keamanan di Gaza, kenapa tidak turut meletakkan tiga atau empat orang sebagai ahli jawatankuasa Lembaga Keamanan tersebut supaya suara rakyat Gaza dapat dide­ngari,” katanya.

Ditanya sama ada Lembaga Keamanan itu memberi peluang positif untuk misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dijangka dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri untuk ke Gaza, Muhammad Nadir berkata, ia bergantung kepada situasi ketika pelayaran GSF 2.0 dimulakan.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan, apa pun yang berlaku misi GSF 2.0 tetap akan digerakkan cuma laluannya mudah atau tidak, itu bergantung sejauh mana mereka menuruti apa yang dikehendaki pemegang taruh.

“Penduduk Gaza adalah tuan tanah, GSF hanya menuruti apa kehendak mereka, tugas kami adalah menyokong rakyat Palestin dari belakang dengan memberikan sumbangan untuk mereka menyambung pengajian, memastikan tiada yang mati kelaparan atau kesejukan. Itu tanggungjawab kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN