PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 523 penduduk Semenanjung Gaza dibunuh dalam serangan tentera Zionis sejak gencatan senjata dilaksanakan 115 hari lalu.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian mencecah 71,795 orang setakat ini.
Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin memaklumkan, serangan rejim Israel masih berterusan menerusi udara, bedilan artileri dan tembakan di pelbagai kawasan di Gaza.
Katanya, meskipun sudah memasuki hari ke-115 sejak perjanjian gencatan senjata pada 10 Oktober 2025 dipersetujui, rakyat Palestin terus berdepan kesukaran hidup dengan kanak-kanak menjadi antara yang paling teruk terjejas.
“Pertubuhan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran mengenai keadaan kemanusiaan kritikal yang dihadapi kanak-kanak di Gaza. Sekurang-kurangnya 100,000 kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut.
“Kemusnahan sistem pendidikan di Gaza berlaku secara sistematik, lebih 90 peratus sekolah rosak dan musnah, menyebabkan 60 peratus kanak-kanak usia persekolahan tidak dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka, sekali gus meletakkan satu generasi dalam risiko kemudaratan pembangunan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Situasi turut membimbangkan apabila rejim Israel didakwa melakukan penggalian semula berskala besar serta mencemari jenazah syuhada Palestin.
“Sekurang-kurangnya 21 tanah perkuburan dimusnahkan dan disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, Israel terus mempercepatkan perluasan penempatan haram, rampasan tanah secara besar-besaran, pelaksanaan projek infrastruktur kolonial serta perobohan rumah penduduk Palestin.
“Seramai 1.3 juta penduduk Gaza memerlukan perlindungan tempat tinggal susulan kemusnahan meluas dan sekatan berterusan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN










