KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China telah membuktikan kemampuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dianggap rumit demi kestabilan, kerjasama ekonomi dan kemajuan teknologi serantau.
Perdana Menteri berkata, kesepakatan yang dicapai dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 selama dua hari itu membuktikan bahawa semangat perpaduan dan kepemimpinan politik yang kukuh mampu menghasilkan keputusan yang berpihak kepada kepentingan rakyat dan masa depan bersama.
“Kita di ASEAN bersama GCC dan China, telah membuktikan bahawa isu-isu yang rumit sekalipun boleh diselesaikan dengan tekad dan semangat kerjasama. Kini, dengan dasar yang jelas dan kestabilan politik yang dijamin, kini giliran komuniti perniagaan untuk bergerak pantas demi manfaat bersama.
“Kini giliran pemain industri dan korporat untuk bertindak dan memastikan sinergi ini diterjemah kepada manfaat sebenar buat negara masing-masing,” katanya dalam ucapan Majlis Makan Malam Rasmi Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China (AGCEF) hari ini.
Sementara itu, Anwar turut mengiktiraf peranan besar GCC dalam menjayakan kerjasama berasaskan teknologi baharu, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).
Mengulas mengenai penyertaan China, Anwar menyifatkan negara itu sebagai jiran penting yang konsisten mempromosi keamanan dan pembangunan serantau serta global.
“China telah membuktikan keupayaannya dalam menjana perubahan melalui kemajuan ekonomi dan teknologi, sekali gus menyokong prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat,” ujarnya. – UTUSAN