KUALA LUMPUR: Timor Leste menjadi anggota tetap ASEAN ke-11 menjelang Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ke semua negara serantau telah mempertimbang penyertaan tersebut dengan mengambil kira komitmen negara berkenaan dalam memenuhi segala syarat ditetapkan.
Dalam hal ini, katanya, Malaysia dan beberapa negara ASEAN lain akan membantu Timor-Leste secara konsisten bagi memastikan negara tersebut mencapai status anggota tetap ASEAN.
“Saya boleh katakan yang kita berpuas hati dan keputusannya adalah jelas iaitu kita semua bersetuju untuk menerima Timor-leste pada sidang seterusnya Oktober ini. Cuma ada satu, dua tindakan untuk mereka perlu membuat reformasi sebelum diterima menjadi anggota tetap.
“Tetapi apapun keputusannya secara konsensus, kita lakukan apa yang perlu untuk membolehkan Timor-Leste menyertai ASEAN pada Oktober ini sebagai anggota tetap,” katanya dalam sidang akhbar sempena hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Kelmarin, Timor-Leste yakin akan dapat memenuhi instrumen dan menjadi anggota tetap ASEAN menjelang Oktober ini.
Perdana Menterinya, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, keyakinan mengambil kira sokongan ditunjukkan oleh negara-negara ASEAN lain terhadap Timor-Leste.
Sebelum ini juga, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini, banyak lagi instrumen undang-undang perlu dilaksanakan Timor Leste sebelum diiktiraf sebagai anggota penuh ASEAN.
Berdasarkan peraturan sedia ada, terdapat 88 prasyarat ditetapkan yang perlu dipenuhi oleh Timor-Leste sebelum boleh menjadi ahli penuh rantau itu. Sebanyak 69 daripadanya adalah tunggak ekonomi. – UTUSAN