PETALING JAYA: Pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang-sik telah diumumkan sebagai ketua jurulatih pasukan ASEAN All-Stars bagi menghadapi perlawanan berprestij menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dalam kejohanan Maybank Challenge Cup yang akan berlangsung pada 28 Mei 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pelantikan Kim disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), yang menzahirkan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan jurulatih berusia 47 tahun itu, terutamanya selepas kejayaannya membawa Vietnam menjuarai Piala ASEAN 2024 tanpa tewas dalam sebarang perlawanan.

“Dipilih untuk mengemudi pasukan dari kalangan barisan pemain terbaik ASEAN untuk beraksi dalam perlawanan berskala besar seumpama ini adalah satu penghormatan buat saya.
“Kami bukan sekadar mewakili negara kami, tetapi secara bersama ingin membuktikan kepada dunia akan semangat, kebanggaan dan kekuatan rantau ini,”ujar Kim dalam kenyataan rasmi.
Bekas pemain antarabangsa Korea Selatan yang beraksi dalam Piala Dunia 2006 itu, memiliki rekod sebagai pemain dan jurulatih yang dihormati di Asia.
Dalam kerjaya kejurulatihannya, beliau pernah membawa Jeonbuk Hyundai Motors menjuarai K League 1 pada 2021, selain meraih kejuaraan Piala FA Korea 2022.
Kepimpinannya di peringkat antarabangsa pula menyerlah apabila mengambil alih skuad Vietnam pada 2024 dan terus mencipta impak dengan menumbangkan pasukan pilihan serantau termasuk Thailand dan Indonesia untuk merangkul kejuaraan.
Pertemuan ini dijangka mencuri tumpuan dunia bola sepak kerana ia menyaksikan kembalinya Manchester United ke Malaysia selepas 16 tahun, selain membariskan pemain bintang dari 12 negara anggota AFF.
Selain aspek kompetitif, perlawanan ini juga membawa dimensi sosial dan kemanusiaan dengan objektif untuk mengumpul dana bagi badan amal serantau, sejajar dengan misi AFF menggunakan bola sepak sebagai medium perubahan positif.
Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth, menyifatkan pelantikan Kim sebagai langkah simbolik kemajuan bola sepak ASEAN.
“Jurulatih Kim adalah simbol profesionalisme dan kemajuan. Kepimpinannya memberi inspirasi bukan sahaja kepada pemain, tetapi juga kepada peminat serta generasi baharu bola sepak serantau.
“Perlawanan ini adalah detik kebanggaan ASEAN dan membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar permainan, tetapi mampu membina kesatuan dan memberi impak luar padang,”ujarnya.
AFF turut merakamkan penghargaan kepada ProEvents selaku penganjur, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai tuan rumah, dan Maybank selaku penaja utama yang membolehkan acara ini direalisasikan.
Menurut kenyataan rasmi, pasukan ASEAN All-Stars akan dibentuk daripada pemain terbaik yang dipilih dari negara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura, Filipina, Myanmar, Laos, Kemboja, Brunei, Timor-Leste dan Australia (selaku ahli kehormat).
Dengan gabungan bakat luar biasa, pengurusan berprofil tinggi, serta lawan yang gah di pentas dunia, Maybank Challenge Cup dilihat berpotensi menjadi antara acara sukan paling bersejarah tahun ini bukan sahaja dari sudut permainan, malah sebagai titik penyatuan bola sepak Asia Tenggara.-UTUSAN