JOHOR BAHRU: Seorang wanita berperwatakan lelaki mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun di Felda Sungai Sibol, Kulai.
Tertuduh, Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nur Farisha didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan itu di Felda Sungai Sibol pada pertengahan tahun lalu dan bulan lalu.
Dia didakwa Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikanTimbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh tidak diwakili peguam bela dalam rayuannya memohon jaminan yang lebih rendah antara RM2,000 hingga RM5,000 atas alasan tidak mampu membayar jaminan yang tinggi kerana perlu menyara adik-adik masih bersekolah dan mempunyai pendapatan RM1,500 sebagai operator kilang.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan serta menetapkan 28 April depan bagi serahan fakta kes dan hukuman. – UTUSAN