Kerajaan komited sokong, semarakkan agenda bumiputera

Kerajaan komited sokong, semarakkan agenda bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan komited untuk terus mendukung dan menyemarakkan agenda pemerkasaan bumiputera sebagai medium yang berdaya hasil serta berteraskan pencapaian yang membanggakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran lebih berani bagi membantu usahawan bumiputera untuk terus berdaya saing.

Katanya, sasaran itu adalah meningkatkan pelaburan GLIC sehingga RM2 bilion, menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu, serta membimbing lahirnya Jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi bumiputera ke tahap yang lebih mapan dan berdaya saing.

“Justeru, pendekatan strategik yang digerakkan harus bersifat menyeluruh, daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan, hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.

“Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan, serta peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan mampan.

“Lantaran itu, sesi meja bulat ini bukan sekadar penyuguhan idea, tetapi medan penting untuk melarai kekangan dan merungkai tantangan yang masih membelenggu usahawan bumiputera.

“Kerajaan mendengar, menilai, dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada agar setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan,” katanya.

Tambahnya, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kerajaan yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, tetapi sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN