AMPANG: Seorang pengetua tadika dikenakan hukuman denda RM2,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan kepada anak muridnya, tahun lalu.
Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir memutuskan demikian selepas tertuduh, 61, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak berumur 5 tahun (pada ketika itu) dengan cara memulas telinga mangsa yang dilakukan pada 6 Mac 2024, pukul 11.30 pagi di sebuah tadika, di Taman Cempaka, Ampang di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan masyarakat manakala ertuduh yang diwakili peguam bela, Jenifer Irithisamy memohon agar anak guamnya dikenakan denda pada kadar minimum.
Menurut fakta kes, pengadu yang juga ibu kepada mangsa telah dimaklumkan oleh anak sulungnya yang berumur 10 tahun (pada waktu kejadian) bahawa adiknya telah dipukul oleh tertuduh yang merupakan guru taska mangsa.
Kanak-kanak itu telah dipukul menggunakan pen penanda di bahagian tangan kanan serta menarik dan memulas telinga kanan mangsa selepas tersalah menulis huruf ‘G’ sehingga menyebabkan kecederaan tisu lembut.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda berjumlah RM2,000 dan penjara 20 hari, sekiranya gagal bayar. – UTUSAN