Jepun menjadi pasaran utama TNG eWallet di luar negara

Jepun menjadi pasaran utama TNG eWallet di luar negara

HERMAN Sarbini (tengah) bersama peserta menyertai sesi Theme Week Studio bersempena Osaka Japan World Expo 2025 di Osaka, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSAKA: Jepun menjadi pasaran utama bagi Touch ‘n Go (TNG) eWallet di luar Malaysia, sekali gus memudahkan pelancong menikmati pengalaman pembayaran tanpa tunai yang lancar di negara matahari terbit itu.

Ketua Pegawai Operasi TNG Digital Sdn. Bhd., Herman Sarbini berkata, platform pembayaran e-wallet atau e-dompet TNG di Jepun terus melonjak meskipun baru diperkenalkan pada pertengahan 2024.

Katanya, Jepun merupakan antara lebih 50 destinasi popular dalam pembayaran rentas sempadan selain negara lain khususnya melibatkan rantau ASEAN.

Jelasnya, sehingga kini bilangan transaksi TNG di negara itu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 90 peratus berbanding tahun lalu.

“Jumlah Nilai Pembayaran (TPV) mencatatkan peningkatan sebanyak 77 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

“Bilangan transaksi pula meningkat sebanyak 90 peratus selari dengan pertumbuhan 90 peratus membabitkan jumlah pengguna. 

“Sehingga kini, TNG eWallet telah diterima lebih daripada tiga juta lokasi peniaga di seluruh Jepun,” katanya dalam sesi Theme Week Studio bersempena Osaka Japan World Expo 2025 di sini.

Bermula pertengahan tahun lalu, TNG Digital menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai, TNG eWallet melalui integrasi Alipay+, sekali gus memudahkan transaksi e-dompet di pasar raya, kedai serbaneka dan peniaga kecil di seluruh Jepun.

Mengulas lanjut, Herman berkata, pembayaran tanpa tunai membolehkan pelancong membeli-belah dengan mudah, termasuk di gerai kecil untuk melakukan urus niaga dengan segera.

“Setiap wang yang dibelanjakan oleh pelancong bukan sahaja menyumbang kepada sektor pelancongan, tetapi juga memperkukuh ekosistem digital,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN