SPRM kekal lucut hak harta Tun Daim, keluarga

SPRM kekal lucut hak harta Tun Daim, keluarga

AZAM Baki pada majlis Peluncuran Polisi Integriti di Universiti Islam Selangor, Kajang, semalam. – IHSAN SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kekal mengambil tindakan untuk melucutkan hak sebahagian harta milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga yang tidak diisytihar.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan terdapat banyak kertas siasatan dibuka bagi tindakan melucutkan harta itu.

Beliau turut menyelar kenya­taan peguam isteri Daim dan ke­luarga yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan.

“Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau dan mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan apa sahaja pandangan mereka.

“Namun di pihak saya, kita akan meneruskan tindakan yang diatur dan dirancang bagi tujuan menentukan hak untuk harta-harta itu, yang kita rasakan ia diperoleh dengan menyalahi undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Peluncuran Polisi Integriti di Universiti Islam Sela­ngor, di sini semalam.

Azam berkata, jumlah keseluruhan harta yang dikesan SPRM setakat ini adalah RM2 bilion tetapi ia mempunyai pecahan-pecahannya untuk dilucutkan hak.

“Setiap harta yang berkaitan (dilucutkan hak) memerlukan satu permohonan kertas siasatan.

“Setakat ini ada lapan kertas siasatan sahaja yang dibuka dan ya… ia mungkin bertambah… mungkin selepas ini,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar ming­gu lalu, Azam mengesahkan, SPRM sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta milik Allahyarham Tun Daim dan keluarga bekas Menteri Kewangan itu.

Beliau berkata, selain harta bernilai tinggi membabitkan RM2 bilion yang kini dibekukan pihaknya, SPRM juga percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan berada di luar negara.

Harta itu, katanya, membabitkan yang dimiliki ahli keluarga serta proksi kepada Allahyarham Daim yang juga bekas pemimpin UMNO.

Tindakan itu mendapat reaksi peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat mem­balas dendam.

Ia, katanya kerana Allahyarham Daim sudah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan tertangguh terhadapnya di mahkamah dan beliau juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.

Mengenai Kes Sapura Ener­gy, SPRM akan menghantar Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memperoleh dokumen serta bukti di luar negara untuk siasatan kes pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.

Azam berkata, bukti itu membabitkan dokumen kewangan dikesan berada di negara luar.

“Siasatan kes masih berjalan dan mungkin lebih ramai saksi akan dipanggil selepas ini,” katanya.
Proses analisis kewangan juga giat dijalankan terhadap­ dokumen kewangan yang di­peroleh sebelum ini.

“Kita sedang mendapatkan dokumen yang boleh dikaitkan dengan siasatan ini yang berada di negara luar.
“Ia sedang diuruskan SPRM dengan AGC, semua kena tahu dalam kita untuk dapatkan bukti dari luar negara perlu kuasa dan kelulusan AGC,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan, siasatan SPRM terhadap kes itu tertumpu pada unsur rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara dipercayai berada di Singapura, Belanda dan Brazil.

Sebanyak 83 akaun bank dibekukan melibatkan lima individu dan 15 syarikat dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM158.26 juta.

Siasatan terhadap tokoh korporat terlibat menjurus isu ganjaran seperti gaji, bonus dan saham yang diterima secara meragukan termasuk yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement).

Kesalahan itu disiasat melibatkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkait dengan salah gu­na kuasa dan turut menyentuh unsur pecah amanah, pemalsuan dokumen dan salah guna dana di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.

Individu itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 dan 6 Mei lalu untuk dirakam ketera­ngan, namun tiada tangkapan dibuat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenya­taan Mac lalu berkata, kerajaan memulakan audit forensik ke atas SEB melalui pelantikan firma audit antarabangsa, Ernst & Young bagi memastikan ke­­telusan dan akauntabiliti da­lam penstrukturan semula sya­rikat tersebut.

Suntikan modal berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×