Israel tembak rakyat Gaza kelaparan, gagal kawal pusat agihan

Israel tembak rakyat Gaza kelaparan, gagal kawal pusat agihan

RIBUAN rakyat Palestin berkumpul di pusat pengedaran Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) di Rafah, bagi mendapatkan bantuan makanan, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran ribuan rakyat Palestin yang kelaparan, selepas kumpulan logistik yang mengendalikan bantuan makanan ke Gaza, gagal mengawal pusat agihannya pada hari kedua operasi.

Sekatan penuh selama 11 minggu dan kepungan ketat yang masih berterusan oleh Israel menyebabkan kebanyakan penduduk Gaza sangat kelaparan.

Ratusan ribu orang merentasi garisan ketenteraan Israel untuk sampai ke pusat agihan baharu di Rafah pada Selasa.

Namun, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang baharu ditubuhkan dan dilantik Israel untuk menguruskan penghantaran bantuan, tidak bersedia menghadapi jumlah luar biasa itu.

“Pada lewat petang, jumlah orang di SDS (pusat pengedaran selamat) sangat ramai sehingga pasukan GHF berundur untuk membolehkan rakyat Gaza mengambil bantuan dengan selamat dan bersurai,” kata yayasan itu dalam kenyataan.

Menurut laporan Associated Press, tembakan kereta kebal kendengaran berhampiran pusat pengedaran makan di Rafah, sementara sebuah helikopter tentera melepaskan suar.

Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin yang cedera dibawa keluar dari lokasi kejadian, termasuk seorang daripadanya luka di kaki.

Tentera Israel mendakwa, pihaknya melepaskan ‘tembakan amaran’ berhampiran kawasan itu kononnya untuk meredakan keadaan.

PULANG TANGAN KOSONG

Menurut dua saksi, setiap individu diperiksa dan wajah mereka diimbas untuk pengesahan identiti sebelum dibenarkan menerima kotak bantuan.

Kekecohan mula tercetus apabila jumlah orang semakin ramai, menyebabkan kotak bantuan dirampas dan kakitangan GFH melarikan diri sebelum beberapa das tembakan kedengaran.

Orang ramai dilihat panik dan meninggalkan lokasi, dengan hanya sebilangan kecil berjaya mendapatkan kotak bantuan berisi barangan asas seperti gula, tepung, pasta tahini, namun sebahagian besar mereka pulang dengan tangan kosong.

“Tiada arahan diberikan, orang ramai berebut untuk mengambil makanan sebelum berlaku tembakan dan kami melarikan diri tanpa sempat mendapatkan apa-apa bantuan bagi mengurangkan kelaparan,” kata seorang rakyat Gaza, Hosni Abu Amra kepada AP.

Dalam ucapan pada malam Selasa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengaku keadaan tidak terkawal berlaku semasa pengagihan makanan.

“Syukurlah, kami berjaya mengawalnya kembali,” dakwa Netanyahu.

Seorang jurucakap GHF memberitahu AP, tiada tembakan dilepaskan daripada kumpulan logistik itu.

GHF menggunakan kontraktor persendirian bersenjata untuk mengawal pusat pengedaran dan pengangkutan bekalan.

Pusat tersebut juga terletak berhampiran kedudukan tentera Israel di Koridor Morag, wilayah yang merentasi keluasan Gaza dan memisakan Rafah dari kawasan lain.

GHF menubuhkan empat pusat di sekitar Gaza untuk mengagihkan makanan, dua daripadanya mula beroperasi sejak Isnin di kawasan Rafah.

PBB BERGELUT AGIH BANTUAN

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan kemanusiaan lain menolak untuk mengambil bahagian dalam sistem GHF, kerana menyifatkan melanggar prinsip kemanusiaan.

Agensi tersebut bimbang ia boleh digunakan Israel untuk memindahkan penduduk secara paksa dengan mengarahkan mereka berpindah berhampiran hab pengedaran atau menghadapi kebuluran.

Mereka juga menentang penggunaan pengecaman wajah untuk mengesahkan penerima bantuan.

Israel mendakwa, sistem baharu itu perlu kerana menuduh Hamas menyeleweng bekalan bantuan yang masuk ke Gaza.

Sepanjang perang, PBB dan kumpulan bantuan menjalankan operasi besar-besaran untuk mengagihkan makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain kepada semua rakyat Palestin di Gaza.

Israel berkata, GHF akan menggantikan rangkaian itu, tetapi sepanjang minggu lalu hanya sedikit bantuan berjaya masuk ke Gaza untuk diagihkan oleh PBB.

COGAT, agensi ketenteraan Israel yang bertanggungjawab menyelaras bantuan, mendakwa 400 trak bekalan, terutama makanan, sedang menunggu di sebelah Gaza di laluan utama masuk dari Israel, tetapi PBB tidak mengambilnya.

Agensi itu turut mendakwa, Israel memanjangkan waktu pengambilan dan memperluaskan laluan yang boleh digunakan oleh PBB di dalam Gaza.

Jurucakap Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA), Jens Laerke, agensi itu bergelut untuk mengambil bekalan tersebut kerana laluan tidak selamat diberikan oleh Israel untuk digunakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN