KOTA TINGGI: Seorang warga emas maut manakala anak dan cucunya cedera apabila dua buah kereta Proton Saga bertembung dalam nahas di Kilometer 9.8 Jalan Kota Tinggi-Kluang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, Siti Norlia Mustajab, 59 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) kira-kira pukul 9.59 pagi
Pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 8.45 pagi melibatkan dua buah Proton Saga berwarna merah dan emas yang dipandu wanita berusia 26 tahun remaja lelaki berusia 18 tahun.
“Ketika kejadian pemandu wanita Proton Saga warna emas membawa anaknya yang berusia dua tahun dan ibunya berumur 59 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Saga berwarna merah dari arah Kampung Lukut, Batu Ampat menuju ke Kota Tinggi telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga berwarna emas.
“Dalam kemalangan tersebut, pemandu Proton Saga berwarna emas kini menerima rawatan di HKT, manakala ibunya mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan anaknya kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, (HSI), Johor Bahru” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemandu Proton Saga berwarna merah mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN