KUALA LUMPUR: Konflik Israel dan Palestin yang berlanjutan sejak sekian lama, hanya boleh diselesaikan sekiranya penduduk Israel berhijrah ke Pulau Greenland, yang merupakan wilayah autonomi Denmark.
Gesaan itu disuarakan oleh Duta Iran di Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi sebagai jawapan balas terhadap cadangan mengarut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu penduduk Palestin dipindahkan ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan.
“Menteri Luar Iran semasa temubual dengan stesen televisyen juga mencadangkan kepada Trump agar mengarahkan penduduk Israel berpindah ke Greenland.
“Itu lebih baik daripada meminta rakyat Palestin berhijrah ke negara lain,” katanya semasa temubual di pejabat kedutaan di sini, baru-baru ini.
Mohammadi berkata, usul cadangan Trump itu bahkan tidak diterima oleh semua negara Arab termasuk beberapa negara di Eropah.
“Banyak negara menggesa rakyat Palestin agar kekal berada di tanah air, ‘rumah’ mereka sendiri,” jelasnya.
Sebelum ini, Trump berulang kali menyatakan hasrat untuk ‘merampas’ Greenland atas alasan kononnya demi keselamatan AS.
Greenland kini mempunyai sekitar 57,000 penduduk.
Sehari selepas Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden, Perdana Menteri Greenland, Mute Egede menegaskan penduduk wilayah itu tidak mahu menjadi sebahagian dari AS.
Baru-baru ini, Trump menyifatkan Gaza sebagai ‘tapak perobohan’ dan mahu beberapa negara Arab mengambil tanggungjawab untuk membina perumahan rakyat Palestin di lokasi lain dalam tempoh masa sementara atau jangka panjang.










