Tak bayar yuran sekolah, murid dihukum belajar atas lantai

Tak bayar yuran sekolah, murid dihukum belajar atas lantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUMATERA UTARA : Seorang guru sekolah rendah di Medan, Sumatera Utara, digantung tugas selepas menghukum seorang murid duduk di lantai selama tiga hari berturut-turut kerana tidak membayar yuran sekolah.

Mangsa, Mahesya Iskandar, 10 yang merupakan murid tahun empat, diarahkan duduk di lantai oleh gurunya selama tiga hari kerana gagal melunaskan tunggakan yuran sebanyak 180,000 rupiah (RM53).

Menurut ibu Mahesya, Kamelia, bayaran yuran sekolah anaknya sebelum ini menggunakan dana Kad Indonesia Pintar (KIP). Namun, dana sebanyak 450,000 rupiah (RM 125) belum diterima sehingga menyebabkan tunggakan berlaku.

“Biasanya saya gunakan dana KIP sepenuhnya untuk bayar yuran. Namun, kali ini ia belum cair,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Brigjen Katamso, Medan.

Kamelia memberitahu dia telah memohon kebenaran daripada pihak sekolah agar anaknya dibenarkan menduduki peperiksaan pada Disember lalu, meskipun belum menjelaskan yuran dan permohonan tersebut diterima.

Bagaimanapun, Mahesya tidak dibenarkan mengambil keputusan peperiksaannya.

Isnin lalu, Mahesya hadir ke sekolah tetapi diarahkan oleh gurunya untuk duduk di lantai dan tidak boleh menyertai sesi pembelajaran.

Kamelia hanya mengetahui hal itu selepas anaknya mengadu dua hari kemudian, Ketika dia hendak ke sekolah untuk melunaskan tunggakan yuran menggunakan wang hasil menjual telefon bimbitnya.

“Saya terkilan apabila sampai di sekolah, saya lihat anak saya duduk di lantai dan menjadi tontonan rakan-rakan sekelas. Saya tidak sangka hukuman sebegini boleh berlaku hanya kerana yuran belum dibayar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Yayasan Abdi Sukma, Ahmad Parlindungan berkata, hukuman tersebut bukan sebahagian daripada dasar sekolah, sebaliknya tindakan individu oleh guru berkenaan.

“Hukuman seperti ini tidak pernah menjadi dasar sekolah. Kami sangat kecewa insiden ini berlaku dan menjadi tular di seluruh negara,” katanya.

Susulan itu, guru tersebut telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan dan Ahmad menegaskan semua murid, sama ada yuran dibayar atau tidak, berhak mengikuti sesi pembelajaran tanpa diskriminasi.

Sejak video insiden itu tular, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kepada keluarga Mahesya dan wang tunggakan yuran telah dijelaskan oleh beberapa dermawan yang prihatin terhadap nasib keluarga tersebut.

Pihak sekolah juga memberi jaminan kedua-dua anak Kamelia, termasuk adik Mahesya yang turut belajar di sekolah sama, akan terus mendapat hak pendidikan tanpa sebarang halangan.–AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN