CARACAS: Ketua Pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado menyeru rakyat memboikot Pilihan Raya Parlimen 2025, susulan dakwaan pemilihan Presiden tahun lalu dirampas oleh Nicolas Maduro.
Kebanyakan masyarakat antarabangsa mempertikaikan dakwaan Maduro mengenai kemenangan dalam pilihan raya 28 Julai lalu, yang menurut pembangkang dimenangi oleh calon mereka, Edmundo González Urrutia.
“Mengundi berulang kali tanpa menghormati keputusan bukanlah mempertahankan (hak untuk) mengundi, tetapi memutar belitkan kehendak rakyat,” kata Machado, yang kini dalam persembunyian, menerusi video disiarkan di media sosial.
Venezuela dijangka mengadakan pilihan raya tahun ini untuk memilih ahli Parlimen, gabenor dan datuk bandar. Namun tarikh itu belum ditetapkan.
Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Kumpulan Tujuh (G7) dan beberapa negara jiran demokratik enggan mengiktiraf pemilihan semula Maduro untuk penggal ketiga selama enam tahun dalam pilihan raya tahun lalu.
Maduro, 62, mengangkat sumpah pada 10 Januari lalu, meskipun Washington menawarkan ganjaran AS$25 juta (RM112.5 juta) untuk penahanan dan sekatan dipertingkatkan.
Pembangkang berkata, jumlah keputusan daripada undian Julai lalu, menunjukkan kemenangan jelas bagi Gonzalez Urrutia, 75, yang melarikan diri ke Sepanyol pada September selepas tindakan keras terhadap penentangan.
Pada 2020, pembangkang memboikot Pilihan Raya Parlimen selepas memenangi majoriti dalam badan perundangan lima tahun sebelumnya.
Sejak itu, sekutu Maduro menguasai semula Parlimen dan meluluskan undang-undang yang semakin menindas, menurut kumpulan hak asasi manusia.
Pembangkang juga memboikot Pilihan Raya Presiden 2018, dengan Maduro dipilih semula untuk penggal kedua yang juga ditolak oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa.– AFP










