Komuniti LGBTQ ancam generasi Turkiye - Utusan Malaysia

Komuniti LGBTQ ancam generasi Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan melancarkan kempen ‘Tahun Keluarga’ sebagai langkah meningkatkan kadar kelahiran di negara itu.

Pengumuman kempen itu juga sebagai tanda mengkritik komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ). 

Merujuk kepada ‘kebenaran sejarah keluarga yang kukuh membuka jalan untuk negara kuat’, Erdogan memperkenalkan beberapa langkah kewangan bagi menyokong institusi keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut mengulangi pandangan yang sering disuarakan sebelum ini mengenai komuniti LGBTQ, dengan menggambarkan gerakan tersebut sebahagian daripada konspirasi asing untuk melemahkan Turkiye.

“Menjadi tanggungjawab bersama untuk kita melindungi anak-anak dan belia daripada aliran budaya yang merosakkan serta ideologi sesat.

“Aliran budaya neoliberalisme sedang merentasi sempadan dan menembusi setiap sudut dunia. Ia juga menyebabkan gerakan LGBT dan fahaman lain semakin mendapat tempat,” katanya dalam majlis di Ankara. 

Meskipun komuniti LGBTQ kurang menonjol di Turkiye, gerakan itu menjadi sasaran utama kerajaan dan penyokong dalam beberapa tahun terakhir.

Perarakan kelompok songsang, Pride, diharamkan sejak 2015 di Turkiye, manakala perhimpunan anti-LGBTQ menerima sokongan kerajaan sejak kebelakangan ini.

Pada masa sama, Recep Tayyip turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kadar pertumbuhan penduduk di Turkiye dan mengulangi gesaannya sejak 2007 supaya setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak.

Beliau turut menekankan kebimbangan terhadap trend berkahwin lambat dan peningkatan kadar penceraian, apabila kadar pertumbuhan penduduk tahunan merosot daripada 2.53 peratus pada 2015 kepada 0.23 peratus, tahun lalu.

“Jika tidak mengambil langkah sewajarnya, masalah ini akan mencapai tahap yang tidak boleh diperbaiki.

“Dalam keadaan seperti ini, kehilangan populasi tidak dapat dielakkan,” katanya.

Bagi menangani ancaman terhadap institusi keluarga, Recep Tayyip mengumumkan beberapa dasar termasuk pinjaman tanpa faedah untuk pasangan baru berkahwin. 

Selain itu, elaun tambahan untuk pasangan yang baru mendapat anak, sokongan kewangan, kaunseling serta penjagaan kanak-kanak percuma.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini