Kabinet Israel luluskan gencatan senjata - Utusan Malaysia

Kabinet Israel luluskan gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Kabinet Israel telah mengundi untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, sekaligus mengakhiri ketidakpastian selama beberapa hari sama ada gencatan itu akan berkuat kuasa hujung minggu ini atau sebaliknya.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan gencatan senjata yang dijadualkan bermula hari ini, akan menghentikan pertempuran dan pengeboman dalam perang paling dahsyat di Gaza.

Ia juga akan membenarkan pembebasan tebusan yang ditahan di wilayah tersebut sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.

“Kerajaan telah meluluskan rancangan pemulangan tebusan,” kata pejabat Netanyahu selepas Kabinet mengadakan pengundian.

Dalam masa sama, Kementerian Kehakiman Israel mengeluarkan senarai terkini 737 tahanan Palestin yang dijadualkan dibebaskan dalam fasa pertama, pada pukul 4 petang, hari ini. 

Gencatan senjata itu dijangka berkuatkuasa menjelang pelantikan Donald Trump, yang mengaku bekerjasama dengan pasukan Presiden AS yang bakal tamat jawatan, Joe Biden, untuk memeterai perjanjian itu.

Sebelum itu, Kabinet keselamatan Israel meluluskannya, dengan pejabat Netanyahu mengatakan pihkanya menyokong pencapaian objektif perang.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, Pihak Berkuasa Palestin telah melengkapkan persediaan untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya di Gaza selepas perang.

Malah, sebelum gencatan bermula, penduduk Gaza yang menjadi pelarian telah bersiap sedia untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, dua menteri sayap kanan menyuarakan penentangan terhadap perjanjian tersebut, dengan salah seorangnya mengancam untuk meletakkan jawatan dari Kabinet. 

Namun, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, sebelum pengundian bermula, beliau percaya gencatan senjata itu akan diteruskan.

“Saya yakin dan saya sepenuhnya menjangka pelaksanaan akan bermula, seperti yang kami nyatakan bermula pada Ahad,” katanya.

Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata, Israel telah mengebom beberapa kawasan di wilayah tersebut, menyebabkan lebih 100 orang terbunuh dan mencederakan ratusan lagi sejak perjanjian itu diumumkan, Rabu lalu.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam memberi amaran serangan Israel membahayakan nyawa tebusan dan boleh mengubah ‘kebebasan mereka bertukar menjadi tragedi’.-AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×