JAKARTA: Seramai dua guru termasuk pengasas sebuah pondok pesantren di kawasan Duren Sawit, Jakarta Timur ditahan kerana didakwa mencabuli beberapa pelajar lelaki.
Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Nicolas Ary Lilipaly mendedahkan modus operandi kedua-dua suspek adalah dengan meminta diurut oleh mangsa.
Suspek yang berusia 47 tahun merupakan pengasas pondok tersebut didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Seorang guru berusia 26 tahun pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap tiga pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 18 tahun.
Menurut Nicolas, suspek sering membawa mangsa ke bilik peribadi atau rumahnya untuk melakukan perbuatan tersebut.
“Dia akan meminta mangsa mengurutnya dan kemudian melakukan perbuatan sumbang. Dia mendakwa perbuatan itu adalah untuk mengubati penyakitnya,” kata Nicolas.
Lebih mengejutkan lagi, isterinya mengetahui perbuatan suaminya tetapi membiarkannya berlaku.
Guru tersebut pula didakwa melakukan perbuatan sama di dalam pondok dengan alasan sama.
Kedua-dua suspek ditahan dan dihadapkan dengan pertuduhan di bawah Undang-Undang Perlindungan Anak dan boleh dipenjara sehingga 15 tahun. -AGENSI











