Biden umum jual senjata RM36 bilion ke Israel - Utusan Malaysia

Biden umum jual senjata RM36 bilion ke Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bagaikan hilang pertimbangan apabila memaklumkan kepada Kongres mengenai cadangan penjualan senjata berjumlah AS$8 billion (RM36 billion) kepada Israel.

Langkah itu sekali gus memperlihatkan sokongan kuat Pentadbiran Presiden, Joe Biden kepada sekutunya walaupun perang di Gaza sudah mengorbankan lebih 45,717 orang.

Menurut dua pegawai AS, pakej baharu yang turut melibatkan penghantaran kepala peledak, bom berdiameter kecil serta peluru untuk jet pejuang, helikopter tempur dan meriam itu kini menunggu kelulusan daripada jawatankuasa Dewan Perwakilan dan Senat.

Sumber berkata, Biden menegaskan, Israel mempunyai hak untuk mempertahankan rakyatnya, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan.

Beliau malah mengakui AS akan terus menyediakan keupayaan diperlukan untuk barisan pertahanannya.

“Beberapa penghantaran peluru boleh disediakan melalui stok semasa AS, manakala sebahagian besarnya akan mengambil masa sehingga beberapa tahun untuk dihantar.

“Pakej itu termasuk peluru berpandu udara AIM-120C-8 untuk mempertahankan diri daripada dron dan ancaman bawaan udara lain, peluru artileri 155mm, peluru berpandu Hellfire AGM-114 serta bom dan sistem panduan lain berjumlah AS$6.75 billion (RM30.37 billion),” kata seorang pegawai AS.

Penunjuk perasaan sudah berbulan-bulan menuntut sekatan senjata terhadap Israel, tetapi dasar AS sebahagian besarnya kekal tidak berubah. 

Ogos tahun lalu, AS meluluskan penjualan AS$20 bilion (RM 90 bilion) dalam bentuk jet pejuang dan peralatan ketenteraan lain kepada Israel.

Pentadbiran Biden berkata, pihaknya akan membantu sekutunya mempertahankan diri terhadap kumpulan pejuang disokong Iran seperti Hamas di Gaza, Hezbollah di Lubnan dan Houthi di Yaman.

Walaupun berdepan kritikan antarabangsa, Washington tetap menyokong Israel dalam serangannya yang menyebabkan hampir kesemua 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal,  berdepan krisis kelaparan dan  tuduhan genosid yang dinafikan rejim itu.

Usaha diplomatik setakat ini gagal menamatkan perang selama 15 bulan itu, malah Washington yang menjadi pembekal senjata terbesar Israel turut memveto beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai gencatan senjata di Gaza.

Biden akan meninggalkan jawatan pada 20 Januari ini, namun Presiden Republikan yang dipilih, Donald Trump dilaporkan adalah penyokong kuat Israel.

Semasa kempen Presiden AS, Trump berkata, jika dipilih beliau akan segera menamatkan perang Gaza, walaupun  tidak menjelaskan tentang caranya. -REUTERS

RUNDINGAN DITERUSKAN

Dalam perkembangan lain, Israel mengesahkan rundingan untuk gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan disambung semula di Qatar.  

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengesahkan rundingan tidak langsung dengan Hamas bagi membebaskan tebusan yang diculik dalam serangan pada Oktober 2023.

Katz memberitahu keluarga seorang tebusan tentera wanita, Liri Albag usaha sedang dijalankan untuk membebaskan tebusan, selepas delegasi Israel tiba di Qatar untuk rundingan, Jumaat lalu.

Jelasnya, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sudah memberikan arahan terperinci untuk rundingan berterusan.

Beliau bercakap selepas sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, mengeluarkan video Albag dalam tahanan di Gaza.

Dalam rakaman berdurasi tiga minit setengah tanpa tarikh yang tidak dapat disahkan oleh AFP, pegawai kerahan tentera berusia 19 tahun itu yang bercakap dalam bahasa Ibrani menggesa supaya kerajaan Israel memastikan dirinya dibebaskan segera.

Seramai 96 tebusan Israel masih berada di Gaza, termasuk 34 orang yang dikatakan tentera Israel sudah meninggal dunia.

Kumpulan kempen Forum Tebusan dan Keluarga Hilang berkata, video baharu itu adalah bukti kukuh yang tidak dapat dipertikaikan tentang keperluan mendesak untuk membawa pulang tebusan.

Hamas berkata, sesi rundingan itu bersedia untuk disambung semula dan pihaknya akan memberi tumpuan untuk memastikan perjanjian itu membawa kepada pemberhentian sepenuhnya permusuhan serta penarikan pasukan pendudukan.

Pengantara Qatar, Mesir dan AS terlibat dalam usaha berbulan-bulan yang gagal menamatkan perang selama hampir 15 bulan.-REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN