Semak semula 20 menu RMT

Semak semula 20 menu RMT

SALAH satu menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid yang terdiri daripada nasi putih, nuget ayam dan sepotong tembikai bernilai RM3.50 dikatakan sudah tidak sesuai kerana gagal menepati amalan makanan sihat dan berkhasiat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20 menu yang diberi kepada pe­ngusaha kantin sekolah bagi 700,000 penerima Ranca­ngan Makanan Tambahan (RMT) di seluruh negara perlu disemak semula.

Dengan kenaikan harga barang, pe­ngusaha kantin sekolah tidak dapat menyediakan hidangan yang lengkap dan berkhasiat pada harga RM3.50 bagi Semenanjung Malaysia dan RM4 bagi Sabah dan Sarawak.

Presiden Persatuan Pe­ngusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khai­ruddin Hamzah berkata, peningkatan harga mentah pada ketika ini menyebabkan keuntungan pe­ngusaha kantin merosot.

“Dengan kenaikan harga ba­rang, pe­ngusaha kantin sekolah agak sukar untuk menyediakan hidangan lengkap seperti nasi, ayam dan buah-buahan pada harga RM3.50.

“Sehubungan itu, kerajaan disaran supaya mengkaji se­mula menu dan memberi cadangan untuk menaikkan har­ga RMT agar dapat mening­katkan kualiti makanan yang disedia­kan kepada pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada Belanjawan 2025 lalu, kerajaan telah menambah peruntukan dana RMT sebanyak RM870 juta berbanding RM784 juta pada belanjawan sebelum ini.

Ia sekali gus bakal memanfaat lebih 860,000 murid dan peluang diberikan kepada pembekal sajian makanan oleh syarikat di daerah.

Menurut Khairudin lagi, pihaknya mencadangkan supaya kadar RMT dinaikkan kepada RM5. Pihak kantin tahu dengan kadar RM3.50, mereka tidak dapat menyediakan makanan yang menyelerakan mengikut me­nu yang disediakan KPM.

Katanya, jika kadar RMT sebanyak RM5, pengusaha kantin boleh menyediakan hidangan yang lebih khasiat dan cukup untuk pelajar.

“Apa yang saya lihat daripada pembentangan Belanjawan 2025, untuk menaikkan harga sahaja tidak cukup. Apabila dinaikkan bajet RMT, sebenar­nya jumlah penerima RMT meningkat tetapi bukan kadar RMT yang meningkat.

“Terdapat 20 menu yang disediakan oleh pihak KPM. Menu tersebut memang terdapat menu kos tinggi. Nilai RMT perlu dikaji setiap tiga tahun kerana kos kenaikan harga barang yang meningkat di luar jangkaan.

“Harga makanan RMT memang perlu dinaikkan. Jika ti­dak, ia akan menyebabkan kes se­perti tahun 2022 yang tidak dapat disediakan dengan baik kerana kos terlalu rendah sehingga tidak mampu menampung kos bahan mentah,” katanya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara dijangka menaikkan harga jualan makanan dan minuman melebihi 50 peratus bermula tahun depan selepas mereka menandatangani tender baharu.

Sekolah akan membuka ten­der setiap tiga tahun. Oleh itu, pe­nender akan masukkan harga baharu dengan menggunakan kos terkini dan anggaran kenaikan kos bagi dua atau tiga tahun akan datang dengan peningkatan sebanyak 20 ke 30 peratus sahaja.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, tidak dinafikan harga makanan ketika ini meningkat dan sangat membebankan pengusaha kantin sekolah.

Menurutnya, pihaknya sudah membuat tinjauan, dengan harga RM3.50 bagi RMT sudah tidak relevan lagi untuk hidangan disediakan.

“Jika RM5 pun sudah sangat sempit dengan kos harga barang hari ini. Nasi ayam di luar pun sudah tidak lagi dijual pada harga RM3.50.

Malah ia kini dijual dengan RM6 hingga RM7.

“Bagi memberikan keselesaan kepada pengusaha yang menyediakan RMT, kerajaan perlu menaikkan kadar RMT sehingga RM 5 seorang.

“Pengusaha kantin juga inginkan keuntungan. Kos RMT sekarang akan menyebabkan kebimbangan bagi penyediaan makanan berkhasiat kepada murid,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN