PETALING JAYA: Sepanjang empat dekad menceburi bidang seni, pelakon, Susan Lankester berpendapat wanita sukar untuk mencipta nama berbanding lelaki.
Oleh itu, Susan berharap kemenangannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Kreatif Asia 2024 (AACA) pada usia 62 tahun akan memberi inspirasi kepada wanita generasi muda untuk memasang impian yang besar.
“Bagi saya, pelakon wanita susah mahu kehadapan dan kali ini saya telah buktikan yang kita boleh. Saya mahu ajak semua orang untuk melangkah ke peringkat antarabangsa.
“Saya boleh lakukan ini pada usia 62 tahun, saya harap yang lain juga boleh lakukannya. Satu Asia telah menonton filem ‘Rain Town’, biar mereka tahu Malaysia adalah negara yang bagus dan dipenuhi orang berbakat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Malah, menurutnya Susan atau Susan Anne Lankester, anak seni tempatan perlu aktif mencari peluang kolaborasi dan membintangi naskhah daripada negara berbeza untuk mengembangkan bakat.
“Kalau boleh kita gabungkan antara negara. Tidak kiralah jika kita ada satu skrip, kemudian mereka datang ke negara kita untuk lakukan penggambaran atau sebaliknya.
“Dengan ini, barulah industri kiita boleh berjaya. Kalau ada ruang kolaborasi dengan mana-mana negara, cuba sebaiknya.
“Penonton sekarang bukan bodoh, mereka tahu jika lakonan awak tidak memberi atau tidak sesuai,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon Femina ini turut mendedikasikan kemenangannya kepada mendiang ibu, Aileen yang meninggal dunia akibat kanser enam tahun lalu.
“Watak Aileen dalam Rain Town ini adalah ibu saya yang juga pejuang kanser. Saya jaga dia sampai akhir nafas. Dia tutup mata dan pergi dalam keadaan senyum,” ceritanya.
Terdahulu, selepas dinobat Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Kreatif Asia, Susan meraikan kejayaan berganda apabila turut dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33.
Susan telah menewaskan Nadia Aqilah yang membintangi filem Eva, Diana Danielle (Imaginur), Nabila Huda (Rahsia) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Dinner). – UTUSAN










