KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa merampas diesel bernilai RM47 juta yang cuba diseleweng bagi tempoh Januari 2022 hingga Oktober lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali berkata, daripada jumlah tersebut, Semenanjung Malaysia mencatatkan kes tertinggi sebanyak 1,617 kes.
“Di Sarawak sebanyak 421 kes, Sabah (141 kes) dan Wilayah Persekutuan Labuan (11 kes) di mana keseluruhan statistik ini adalah sebanyak RM47 juta,” katanya waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosul Wahid (PN- Hulu Terengganu) yang meminta kementerian menyatakan jumlah tangkapan dan rampasan kes penyelewengan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sejak 2022 hingga kini.
Kata Armizan, antara faktor yang mendorong aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi adalah permintaan tinggi dalam sektor industri dan penyeludupan ke luar negara serta penetapan harga bagi diesel bersubsidi yang diberikan secara pukal oleh kerajaan.
“Jumlah ini menunjukkan bahawa Semenanjung Malaysia terus menjadi lokasi utama bagi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
“Dalam usaha membanteras penyalahgunaan ini, pelbagai operasi telah dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa termasuk KPDN,” katanya.-UTUSAN










