KOTA BHARU: Polis menahan seorang individu bagi membantu siasatan kes kematian warga emas di sebuah rumah di Kampung Masjid Baung Bayam di sini kelmarin.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, individu tersebut membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh.
“Kelmarin (Isnin) sekitar pukul 11.30 pagi, satu insiden telah berlaku di sebuah kediaman yang menyebabkan warga emas berusia 83 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang perselisihan faham atau pertengkaran. Mangsa kemudian dibawa oleh ahli keluarga ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, warga emas itu kemudian telah dirujuk ke Jabatan Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa yang berada dalam keadaan separuh sedar telah diberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan sebelum dimasukan ke dalam wad untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia semalam sekitar pukul 6.30 petang semasa sedang menerima rawatan.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian warga emas berkenaan berpunca dari kecederaan daya tumpul pada bahagian kepala yang menyebabkan keretakan pada tulang tengkorak serta pendarahan di dalam otak,” ujarnya.-UTUSAN










