PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya membuka tirai kempen Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 dengan penuh bergaya apabila menundukkan Bangladesh 3-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia, hari ini.
Kemenangan itu turut menyaksikan tiga pemain baharu, Manuel Hidalgo, Bradd Tapp dan Bergson da Silva, membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan selepas diturunkan dalam kesebelasan utama oleh pengendali sementara, Tan Cheng Hoe.
Malaysia tampil lebih dominan sejak wisel permulaan dengan mengawal rentak permainan, manakala Bangladesh bergelut untuk mencipta ancaman di kawasan pertahanan Harimau Malaya.
Selepas beberapa percubaan awal, usaha Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Arif Aiman Hanapi membuka tirai jaringan.
Gol tersebut terhasil daripada hantaran jauh Nooa Laine yang menemui Arif Aiman sebelum pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon.
Arif Aiman sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ke-37.
Kesilapan barisan pertahanan Bangladesh membuka ruang buat Stuart Wilkin merampas peluang sebelum menghantar bola kepada Arif Aiman yang tenang menyudahkan peluang tersebut bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Harimau Malaya hampir menambah jaringan sebelum rehat apabila Faisal Halim menerima hantaran jauh Hidalgo pada minit ke-44.
Faisal berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan dan cuba melepaskan rembatan, namun Mehedi Hasan Srabon pantas bertindak menyelamatkan gawang Bangladesh daripada dibolosi buat kali ketiga.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia terus menekan dan tidak mengambil masa lama untuk memperkukuhkan kelebihan.
Bergson akhirnya mencatat gol sulungnya bersama Harimau Malaya pada minit ke-52 selepas menerima hantaran Corbin Ong sebelum menyempurnakan peluang berkenaan untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Bangladesh cuba bangkit pada baki permainan, namun Malaysia terus mengawal keadaan dan mengekalkan kelebihan tiga gol sehingga wisel penamat. Harimau Malaya dijadual bertemu Indonesia dalam aksi kedua kejohanan pada Isnin ini. – UTUSAN











