Syiah tidak sesuai di Kedah – Sanusi - Utusan Malaysia

Syiah tidak sesuai di Kedah – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menganugerahkan Tauliah Mengajar Agama Islam negeri Kedah pada majlis penyampaian di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan aliran syiah tidak sesuai diamalkan di negeri ini dan wilayah nusantara ini.

Tegasnya, ketika ini kalangan ulul amri atau pemimpin memiliki tanggungjawab memelihara aliran sedia ada yang sekian lama diamalkan di nusantara.

“Syiah sesuai di Iran, ada sikit di Iraq dan mereka hanya boleh hidup di wilayah itu saja. Mereka aman di sana dan apabila keluar saja ke Pakistan, India dan Indonesia berlaku pertumpahan darah dan pembunuhan disebabkan perbezaan mazhab syiah dan Ahlus Sunnah wal Jamaah.

“Di nusantara ini terdapat kira-kira 300 juta orang Islam dan aliran yang dibawa oleh pendakwah terdahulu, menjernihkan wilayah ini. Kalau tak dijaga dan dibiarkan berselerak seperti tempat lain, maka akan berlaku pertumpahan darah dan pembunuhan, hanya kerana perbezaan mazhab.

“Perkara itu telah banyak berlaku di negara lain termasuk Syria yang negaranya hancur lebur walaupun dulu aman dan kaya. Alangkah ruginya apabila kejadian itu berlaku, lebih-lebih lagi melibatkan kematian alim ulama yang turut dibom,” katanya pada Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam negeri Kedah di sini, semalam.

Pada pertengahan Oktober lalu, sekumpulan 21 penduduk tempatan dipercayai pengikut fahaman Syiah ditahan dalam operasi membanteras ajaran sesat di Kampung Alor Berala, Tobiar dekat Pendang.

Menurut laporan akhbar, operasi itu dijalankan setelah pihak berkuasa mendapat maklumat berkaitan perhimpunan memperingati hari kelahiran Imam Ke-11 pengikut Syiah, Imam Hasan Al-Askari.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, tindakan memberi tauliah kepada pihak yang mahu mengajar agama di negeri ini bukannya bertujuan untuk mengganggu penyebaran ilmu kepada masyarakat.

“Sebaliknya langkah itu bagi memastikan kuliah-kuliah di­sampaikan sentiasa berasaskan kepada manhaj yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, ajaran syiah mempunyai banyak cabang hingga ada yang terlalu ekstreme dan bercanggah dengan adab serta akhlak Islam.

“Ada yang terlalu ekstreme hingga sanggup menghina, mencemuh dan merendah-rendahkan sebahagian sahabat utama nabi. Jadi sememangnya sangat tidak sesuai,” katanya.

Fahaman Syiah diwartakan bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam khususnya di negeri Kedah sejak 15 Jun 2014.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN