200 pembikin filem Israel sokong dokumentari genosid Gaza

200 pembikin filem Israel sokong dokumentari genosid Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Lebih 200 pembikin filem Israel menandatangani petisyen menyokong penerbitan NAZA, sebuah dokumentari yang memaparkan keterangan anggota tentera dan perisikan Israel mengenai operasi kejam mereka di Gaza.

Antara yang menandatangani petisyen itu ialah pengarah terkenal Ari Folman, Shlomi Elkabetz, Ran Tal dan Michal Aviad.

“Peranan utama seni dan kewartawanan adalah untuk menjadi cermin kepada masyarakat tempat kedua-duanya wujud,” menurut petisyen itu.

Inisiatif berkenaan dilancarkan ketika pembikin filem, Yuval Abraham dan Rachel Szor berdepan kritikan serta ancaman yang semakin meningkat selepas dokumentari berkenaan memenangi Hadiah Juri Khas pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-83.

Menteri Kebudayaan dan Sukan Israel, Miki Zohar melabel karya kedua-dua pembikin filem itu sebagai satu tindakan pengkhianatan dan berkata, beliau akan berusaha untuk menarik balik kewarganegaraan Israel mereka.

Bagaimanapun, menteri kebudayaan tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik kewarganegaraan secara unilateral. Langkah sedemikian memerlukan proses perundangan rasmi yang melibatkan menteri dalam negeri dan mahkamah di bawah undang-undang Israel.

NAZA diterbitkan akhbar Britain, The Guardian dan JW Films, berdasarkan temu bual dengan 24 individu tanpa nama yang pernah berkhidmat dalam tentera dan perisikan Israel mengenai pengawasan, pemilihan sasaran serta serangan di Gaza.

Filem itu mengambil namanya daripada singkatan ketenteraan dalam bahasa Ibrani bagi collateral damage yang bermaksud anggaran jumlah orang awam yang dijangka terbunuh dalam sesuatu serangan.

Individu yang ditemu bual menceritakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pengawasan besar-besaran untuk mengenal pasti sasaran, selain serangan yang diluluskan walaupun korban orang awam telah dijangka.

Abraham dan Szor berkata, dokumentari itu memberi tumpuan kepada dasar institusi, arahan dan amalan operasi, bukannya salah laku terpencil oleh anggota tentera secara individu.

Tentera Israel menolak dakwaan dalam filem itu dan mempersoalkan kebolehpercayaan keterangan daripada sumber tanpa nama yang identiti, pangkat serta bidang tanggungjawab mereka tidak dapat disahkan.

Tentera Israel turut menafikan AI menentukan sasaran yang akan diserang, sebaliknya berkata, pemilihan sasaran dan keputusan untuk meluluskan serangan dibuat oleh anggota manusia mengikut arahan ketenteraan.

Lapor Anadolu, Abraham dan Szor sebelum ini bekerjasama dalam dokumentari No Other Land yang memenangi Anugerah Akademi, bersama pembikin filem Palestin. Basel Adra dan Hamdan Ballal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×