Izhar Hidayat kupas erti kehilangan menerusi Jika Ku Pergi Dulu - Utusan Malaysia

Izhar Hidayat kupas erti kehilangan menerusi Jika Ku Pergi Dulu

Izhar Hidayat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi Singapura, Izhar Hidayat kembali ke persada muzik dengan mengupas erti kehilangan menerusi karya balada menyentuh hati, Jika Ku Pergi Dulu.

Menurut Izhar, lagu berkenaan tercetus daripada refleksi mendalam mengenai betapa rapuhnya kehidupan serta kepentingan menghargai insan tersayang selagi mereka masih ada.

“Bagi saya, inspirasi di sebalik lagu ini datang daripada refleksi kehidupan dan betapa singkatnya masa yang kita ada bersama insan tersayang.

“Saya harap lagu ini menjadi peringatan agar kita sentiasa menghargai setiap saat bersama orang di sekeliling sebelum terlambat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dari sudut muzik, lagu berkenaan menampilkan susunan piano minimalis pada bahagian awal sebelum disokong kemasukan instrumen string yang dramatik, sekali gus memberikan sentuhan sinematik.

Izhar berkata, Jika Ku Pergi Dulu menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya sebagai seorang pencerita yang menyalurkan pengalaman hidup menerusi setiap nota muzik.

Memulakan perjalanan seni dengan minat mendalam terhadap muzik balada dan kontemporari, Izhar kini dikenali menerusi vokal yang jujur serta penyampaian penuh emosi.

Katanya, Jika Ku Pergi Dulu menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan seninya apabila beliau bereksperimen dengan susunan muzik yang lebih sinematik dan mendalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×