Tiga maut helikopter media terhempas ketika buat liputan kemalangan

Tiga maut helikopter media terhempas ketika buat liputan kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Tiga orang maut selepas sebuah helikopter media berita Amerika Syarikat (AS) terhempas dan terbakar ketika membuat liputan kemalangan bas di kawasan Chatsworth, Los Angeles.

Insiden tragis itu berlaku ketika media tempatan bergegas membuat liputan kemalangan maut melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang merempuh sebuah bas di kawasan Chatsworth, barat laut pusat bandar Los Angeles, menyebabkan tiga lagi maut dan ramai cedera.

Wartawan yang berada di lokasi kemalangan bas memaklumkan terdengar bunyi dentuman kuat, manakala sebahagian daripada mereka berkata, melihat sebuah helikopter terhempas kira-kira satu blok dari lokasi kejadian, menyebabkan kepulan asap naik ke udara.

Rakaman dari udara menunjukkan kebakaran besar yang dipercayai melibatkan kontena penghantaran dan beberapa kenderaan, selain bangkai helikopter dengan bahagian ekor dan rotor yang hancur.

Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) berkata, empat mangsa diperiksa, dengan tiga disahkan maut di tempat kejadian dan seorang lagi dibawa ke hospital tempatan dalam keadaan yang belum diketahui.

Salah seorang yang maut dipercayai pejalan kaki yang berada di darat ketika helikopter itu terhempas.

Identiti mereka yang berada dalam helikopter itu belum dikenal pasti namun polis mengesahkan ia merupakan helikopter media. Stesen NBC4 tempatan turut melaporkan secara langsung pihaknya gagal menghubungi kru helikopter berkenaan.

Ketika siaran langsung NBC4 yang diselubungi emosi, penyampai berita veteran, Colleen Williams mengesahkan helikopter yang terhempas itu milik stesen berita berkenaan.

“Kami tahu ia helikopter berita. Kami tahu kami sudah terputus hubungan dengan petugas kami di sana dan kami baru menerima pengesahan,” katanya.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) akan mengendalikan siasatan mengenai nahas berkenaan.

Los Angeles, bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu mempunyai pasaran media yang kompetitif dan padat, dengan stesen televisyen bersaing sengit mendapatkan berita.

Banyak stesen televisyen di bandar itu lazimnya menggunakan liputan dari udara dengan menghantar helikopter ke ruang udara yang sibuk untuk membuat liputan pelbagai kejadian, daripada kebakaran hingga ke aksi kejar-mengejar kenderaan.

Biasanya terdapat dua orang dalam sebuah helikopter media berita, iaitu juruterbang serta wartawan merangkap jurukamera yang kerap membuat laporan secara langsung dari udara.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×