TEL AVIV : Penunjuk perasaan di Israel menyuarakan kebimbangan terhadap tebusan yang ditahan di Gaza, selepas Qatar mengumumkan penarikan diri sebagai pengantara utama dalam usaha gencatan senjata yang bertujuan membawa pulang tahanan.
Beribu-ribu orang berkumpul di Tel Aviv sambil memegang sepanduk bertulis ‘400’, merujuk kepada tempoh penahanan tebusan yang mencapai ratusan hari sejak Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, tahun lalu.
Usaha untuk mencapai gencatan senjata dalam peperangan antara Hamas dan Israel masih menemukan jalan buntu.
Sabtu lalu, Qatar mengambil keputusan untuk menghentikan peranan sebagai pengantara sehingga kedua-dua pihak menunjukkan ‘kesediaan dan kesungguhan’ dalam rundingan.
Protes itu turut mempamerkan replika wajah Netanyahu serta papan tanda bertulis ‘Bersalah’, ‘Perjanjian Tebusan Sekarang’ dan ‘Letakkan Senjata, Hentikan Perang.’
“Berapa banyak lagi air mata yang perlu ditumpahkan dan darah yang perlu mengalir sebelum seseorang melakukan apa yang perlu untuk membawa anak-anak kami pulang?” kata Niva Wenkert, ibu kepada tebusan Omer Wenkert, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan kempen Hostage and Missing Families Forum.
Serangan pada 7 Oktober telah menyebabkan 1,206 kematian di pihak Israel, kebanyakannya orang awam, menurut perangkaan rasmi Israel yang dikumpul AFP, manakala kempen serangan balas Israel pula mengorbankan 43,552 orang di Gaza, majoritinya orang awam, menurut data daripada kementerian kesihatan Palestin.
Daripada 251 tebusan yang diculik, 97 masih berada di Gaza termasuk 34 yang disahkan tentera Israel telah terkorban.
Penduduk Israel mengadakan protes mingguan bagi mendesak kerajaan melakukan lebih banyak usaha untuk membebaskan tahanan.
Qatar, yang menjadi tuan rumah kepada kepemimpinan politik Hamas sejak 2012 dengan restu Amerika Syarikat, telah terlibat dalam diplomasi berpanjangan bagi menamatkan peperangan di Gaza.
Namun, rundingan yang turut dimediasi oleh Kaherah dan Washington itu berulang kali menghadapi jalan buntu, sejak satu-satunya gencatan senjata selama seminggu pada November lalu, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari atas kebuntuan tersebut. -AGENSI











