PETALING JAYA: Kerajaan disaran memansuhkan minyak masak peket subsidi dan digantikan dengan bantuan kewangan kepada golongan sasar bagi menangani isu penyelewengan serta ketirisan.
Berdasarkan laporan, daripada kuota 60,000 tan metrik atau bersamaan 60 juta peket minyak masak bersubsidi satu kilogram sebulan di pasaran, 60 peratus digunakan oleh kumpulan peniaga mikro.
Golongan ini tidak tergolong sebagai penerima subsidi barangan itu dan tiada sebarang tindakan dikenakan untuk melandaikan isu terbabit.
Malah, subsidi bahan keperluan harian tersebut turut dinikmati oleh 3.4 juta warga asing dengan had pembelian sebanyak tiga peket sama seperti warga tempatan.
Selain itu, wujud perbuatan yang mengambil kesempatan apabila ada sindiket membeli minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50 sepeket, kemudian dicampur dengan minyak masak terpakai dan dijual semula antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram.
Penasihat Undang-undang Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh berkata, cadangan memansuhkan subsidi minyak masak peket itu wajar kerana ketirisannya terus berlaku dengan modus operandi yang berbeza.
“Kami telah lama mencadangkan subsidi minyak masak peket dimansuhkan dan digantikan dengan bantuan kewangan secara sekali beri yang boleh dihulurkan kepada golongan sasar yang terkesan dengan kos sara hidup.
“Ketirisan terus berlaku walau apa pun tindakan dilaksanakan oleh penguat kuasa jika pemberian subsidi diteruskan. Sindiket sentiasa mengubah modus operandi mereka supaya tidak dapat dikesan dan dibongkarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi serbuan Op Tiris berjaya membanteras sindiket beli minyak masak peket bersubsidi yang dicampur dengan minyak masak terpakai dan dijual semula antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram.
Operasi tersebut dijalankan secara berasingan di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya, Kajang dan premis perniagaan di Bandar Rinching, Semenyih.
Sementara itu, Penasihat Gandingan Gerakan Pengguna Malaysia, Dr. Lee Nan Sang berkata, KPDN perlu mengambil tindakan tegas untuk menghukum mereka yang terlibat dengan sindiket barangan subsidi.
Jelasnya, pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan bekalan minyak masak peket subsidi sentiasa berkurangan di pasaran.
“Antara tindakan yang boleh diambil adalah menggantung lesen perniagaan atau lesen perkilangan ke atas pihak yang disahkan bersalah menyelewengkan minyak masak peket subsidi.
“Ini satu perkara yang wajib dipandang serius dan tidak boleh dimaafkan kerana sindiket ini merampas hak pengguna terutama mereka yang diberikan keistimewaan untuk menikmatinya.
“Selain itu, pihak peniaga, pekedai atau pembekal harus sentiasa diingatkan bahawa minyak masak peket subsidi hanya untuk keluarga yang berkelayakan membelinya. Had kuantiti belian seseorang juga perlu ditekankan,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau, penguatkuasaan KPDN juga perlu bekerjasama dengan kerajaan tempatan memeriksa dan menjalankan tugas pemantauan tidak ikut jadual.
“Mereka seharusnya tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada makluman atau laporan dari awam. KPDN juga boleh mengadakan dialog dan kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna atau kepenggunaan.
“Penguat kuasa perlu pantau dengan rapi aliran logistik dari kilang pemprosesan, pemborong, peniaga dan pekedai sehingga ke pengguna untuk mengelakkan penyelewengan dan kekurangan bekalan berlaku,” katanya. – UTUSAN










