TEL AVIV : Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa serangan udaranya terhadap Iran, bulan lalu, memusnahkan ‘satu komponen’ dalam program nuklear Teheran.
Serangan itu juga dikatakan melemahkan keupayaan pertahanan dan pengeluaran peluru berpandu republik itu.
“Terdapat komponen tertentu dalam program nuklear mereka yang terkena dalam serangan ini,” kata Netanyahu semasa berucap di Parlimen Israel, Knesset.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai komponen tersebut.
“Program itu sendiri dan keupayaannya untuk beroperasi di sini, belum dapat dihapuskan sepenuhnya,” tambahnya.
Netanyahu turut mendakwa tiga bateri peluru berpandu pertahanan udara S-300 buatan Russia yang ditempatkan berhampiran Teheran turut dimusnahkan dalam serangan itu.
Tambah beliau, Russia telah membekalkan Iran dengan empat bateri S-300 dan salah satu daripadanya telah dimusnahkan dalam serangan langsung antara Israel dan Iran, April lalu.
Namun, pihak berkuasa Iran belum memberikan sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.
Pada 26 Oktober lalu, jet pejuang Israel melancarkan tiga gelombang serangan yang menyasarkan aset ketenteraan Iran.
Ia berlaku beberapa minggu selepas Teheran melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu balistik ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, di selatan Beirut dan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, di Teheran oleh Israel.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan serangan Israel sebagai sesuatu yang ‘tidak patut dibesar-besarkan atau diremehkan.’
Sebelum serangan itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, menegaskan beliau tidak menyokong tindakan menyerang tapak nuklear Iran kerana bimbang ia akan mencetuskan eskalasi lebih buruk di rantau itu. -AGENSI











