TEHERAN: Iran mengeluarkan imej pertama dua satelitnya yang akan dilancarkan di atas roket Soyuz Russia, minggu depan.
Kedua-dua satelit Kowsar dan Hodhod yang dibangunkan secara persendirian itu sudah dihantar ke Russia pada 11 Oktober lalu, bagi misi pelancaran yang dijadualkan ke angkasa pada 5 November.
Misi tersebut melibatkan usaha pertama industri angkasa lepas persendirian Iran dalam pembuatan dan pelancaran satelit, menandakan kemajuan besar bagi cita-cita aeroangkasa negara Asia Barat itu.
Lapor agensi berita Tasnim, pembangunan satelit penderiaan jauh Kowsar bermula pada 2019, manakala Hodhod yang menggabungkan teknologi canggih daripada Kowsar, direka dan dibina dalam tempoh setahun.
Kowsar ialah satelit penderiaan jauh resolusi tinggi yang dicipta untuk pelbagai tujuan, seperti pengurusan pertanian, pemantauan sumber asli, penilaian alam sekitar dan tindak balas bencana.
Imejan berkualiti tingginya akan membolehkan pengesanan tepat terhadap perubahan alam sekitar, mengenal pasti kawasan yang dilanda bencana dan perancangan yang lebih baik untuk pertumbuhan mampan.
Ciri utamanya termasuk pengimejan resolusi tinggi, aplikasi serba boleh dan pengeluaran domestik.
Sementara Hodhod pula ialah satelit komunikasi padat yang direka untuk memudahkan rangkaian satelit dan sambungan Internet Kebendaan (IoT).
“Satelit ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi di kawasan terpencil dan sukar dicapai dengan akses rangkaian daratan yang terhad.
“Ciri penting Hodhod termasuk saiznya yang kecil, fungsi komunikasi dan kemampuannya untuk digunakan di kawasan terpencil,” jelas laporan itu.
Menurut Tasnim, pencapaian terbaharu itu hasil kerja keras sekumpulan jurutera muda negara sekitar umur 25 tahun yang berkhidmat dalam syarikat teknologi swasta Iran.











