HAT YAI: Penduduk tempatan digesa berpindah ke tempat lebih tinggi susulan Hati Yai diisytiharkan sebagai zon merah.
Penduduk digesa memindahkan barang-barang mereka ke tempat lebih selamat selepas air di terusan hampir melimpah di wilayah selatan Thailand itu.
Majlis Perbandaran Hat Yai mengenal pasti wilayah itu sebagai kawasan berisiko tinggi dilanda banjir.
Pengumuman oleh Datuk Bandar Hat Yai, Sakhon Thongmunee dikeluarkan pagi tadi, selepas sejumlah besar air yang mengalir ke terusan U-Tapao dan Wa yang mengalir melalui Hat Yai, daerah paling ramai penduduk di wilayah selatan Songkhla.
“Limpahan air dari terusan boleh membanjiri kawasan pusat bandar Hat Yai dan orang ramai perlu memindahkan barangan mereka ke tempat selamat serta bersiap sedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk,” katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan mengikuti perkembangan terkini mengenai cuaca dan situasi banjir.
Beberapa wilayah di Selatan Thailand ditenggelamkan air selepas hujan lebat sejak awal minggu ini.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana melaporkan sebanyak 1,884 kampung di 50 daerah Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat dan wilayah Satun masih dilanda banjir. -AGENSI











